Search This Blog

Friday, November 26, 2010

Masyarakat Aceh bantu mangsa banjir Malaysia



Mansur Usman mewaklili komuniti Aceh Malaysia menyerahkan bungkusan barang keperluan makanan kepada Shahlan Ismail (dua dari kiri) untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Kedah dan Perlis pada majlis di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 25 Nov. - Memahami penderitaan mangsa banjir di utara Semenanjung baru-baru ini, masyarakat Aceh yang bekerja dan menetap di Malaysia mengumpul bantuan makanan dan barang keperluan lain untuk disumbangkan kepada mereka yang terlibat.
Barangan makanan dan keperluan harian bernilai RM180,000 yang berjaya dikumpul sejak awal bulan ini mula diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir hari ini.
Pengumpulan bantuan di kalangan masyarakat Aceh di negara ini dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri.
Sebanyak lapan trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digunakan untuk mengangkut bantuan itu ke utara pada satu majlis di Jalan Raja Bot di sini hari ini.
Hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail, Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Dr. Abd. Malek Awang Kechil dan Ketua Penganjur Masyarakat Aceh Malaysia, Mansur Usman.
Mansur ketika ditemui berkata, sebelum ini rakyat Malaysia banyak membantu masyarakat Aceh membina semula kehidupan mereka terutama selepas dilanda tsunami pada 2004.
Jadi katanya, kali ini giliran mereka membantu rakyat Malaysia yang dilanda bencana alam yang memusnahkan rumah serta harta benda mereka.
''Kami amat memahami penderitaan yang ditanggung mangsa banjir dan mahu membantu mereka membina semula kehidupan,'' jelasnya.
Sementara itu, Shahlan berkata, Yapeim turut menyumbangkan peralatan memasak yang disumbangkan kepada mangsa banjir hari ini.
"Pihak Yapeim bermurah hati menyumbangkan tambahan 5,000 unit dapur dan ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 20,000 unit dapur akan diberikan kepada mereka yang terlibat," katanya.

No comments:

Post a Comment