Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Masalah komponen punca enjin A380 terbakar


LONDON 12 Nov. - Rolls-Royce hari ini menyatakan kegagalan 'komponen tertentu' pada enjin Trent 900 merupakan punca berlakunya kebakaran pada pesawat Airbus A380 milik Qantas Airways, menyebabkan ia terpaksa melakukan pendaratan kecemasan.
"Kegagalan itu terhad pada satu komponen tertentu di kawasan turbin enjin tersebut. Ia menyebabkan kebakaran minyak," kata Rolls-Royce dalam satu kenyataan.
Syarikat beribu pejabat di Britain itu menyatakan kesediaan menggantikan bahagian yang rosak itu.
Sementara itu, Qantas semalam menyatakan penangguhan penggunaan Airbus A380 sehingga perkembangan selanjutnya, selepas insiden cemas minggu lalu mencetus kebimbangan keselamatan yang serius terhadap pesawat penumpang terbesar dunia itu.
Syarikat penerbangan Australia itu menyusun semula jadual penerbangannya untuk mengecualikan enam pesawat Airbus A380 daripada beroperasi yang berpotensi menjangkau selama beberapa minggu, selepas insiden pada 4 November lalu itu.
Kejadian itu juga menyebabkan Singapore Airlines mengumumkan akan menukar enjin Trent 900 yang dikeluarkan oleh Rolls Royce untuk tiga pesawat Airbus A380 miliknya.
Seorang jurucakap memberitahu, pesawat Airbus A380 milik Qantas yang digunakan untuk perjalanan jauh menghubungkan beberapa bandar raya Australia dengan Los Angeles dan London tidak akan digunakan sekurang-kurangnya untuk beberapa hari.
Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah semalam juga mengarahkan syarikat penerbangan untuk menjalankan pemeriksaan baru ke atas enjin keluaran Rolls-Royce yang digunakan pesawat Airbus A380 selepas analisis dijalankan terhadap enjin yang meletup pada pesawat Qantas. - AFP

No comments:

Post a Comment