Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Mangsa tembak tidak cam suspek


KUALA LUMPUR 26 Nov. - Seorang wanita warga Indonesia yang merupakan salah seorang daripada tiga mangsa cedera ditembak dalam kejadian rompakan sebuah pejabat pengurup wang di Gedung Kamdar Jalan Tuanku Abdul Rahman kelmarin, terkena tembakan sebaik turun dari teksi yang dinaikinya.
Wanita yang dikenali sebagai Roshida, 35, ketika itu secara kebetulan pergi ke kaunter pengurup wang bagi menukar mata wang Rupiah Indonesia untuk dikirimkan ke kampung halamannya.
Menurut Malabama, 48, ibu angkat kepada mangsa, Roshida menceritakan kepadanya kejadian itu berlaku begitu pantas.
"Sebaik saja dia turun dari teksi dan sedang menuju ke kaunter pengurup wang, jeritan 'rompak, rompak' tiba-tiba kedengaran sebelum disusuli dengan dia terkena tembakan di lutut kanannya.
"Saya diberitahunya dia tidak dapat mengecam wajah kedua-dua perompak itu," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.
Pemberita tidak berkesempatan menemubual mangsa kerana sedang berehat ketika itu.
Dalam kejadian pukul 3.30 petang kelmarin, salah seorang penjenayah ketika meloloskan diri selepas merompak sebuah pejabat pengurup wang di tingkat satu premis berkenaan, telah melepaskan beberapa das tembakan rambang mengenai tiga mangsa.
Selain Roshida, mereka yang cedera ialah dua pekerja lelaki syarikat pengurup wang itu yang salah seorangnya parah terkena tembakan di perut.
Kedua-dua suspek berjaya melarikan diri dengan sebuah motosikal bersama hasil rompakan RM200,000 dalam pelbagai mata wang asing.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan polis mendapati suspek telah melepaskan enam das tembakan secara keseluruhannya.
Katanya, daripada penemuan kelongsong peluru di tempat kejadian dapat mengesahkan suspek menggunakan 9mm pistol automatik.
"Tiada tangkapan dibuat sehingga kini namun siasatan masih diteruskan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, siasatan polis tidak dapat dibantu dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kerana tiada kelengkapan dipasang di tempat kejadian.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment