Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Letupan meriam kedengaran dari Yeonpyeong



Pangkalan tentera laut Korea Selatan di pulau Yeonpyeong menempatkan senjata berat terbakar selepas Korea Utara melancarkan serangan meriam ke atas pulau itu pada 23 November, 2010. Gambar ini dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Korea Selatan, semalam. - REUTERS


KOREA SELATAN 26 Nov. - Penduduk Korea Selatan yang tinggal di pulau Yeonpyeong yang bersempadan dengan Korea Utara diselubungi ketakutan hari ini apabila mereka terdengar bunyi tembakan meriam dari pulau itu, yang dibedil oleh rejim komunis itu tiga hari lalu.
Bunyi letupan itu kedengaran hanya beberapa jam selepas Pyongyang memberi amaran akan melancarkan lagi serangan.
Letupan-letupan itu dipercayai datang daripada latihan ketenteraan yang dijalankan oleh Korea Utara dan berlaku sejurus selepas komander tertinggi tentera Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan, Jeneral Walter Sharp melawat Pulau Yeonpyeong sebagai tanda sokongan kepada Seoul.
Sharp turut meninjau kerosakan akibat bedilan bertalu-talu meriam Korea Utara ke atas pulau itu Selasa yang menyebabkan empat orang maut.
Seorang pegawai di pejabat Ketua Turus Bersama tentera Korea Selatan berkata, beberapa tembakan peluru meriam kedengaran hari ini di Yeonpyeong yang terletak hanya 11 kilometer dari tanah besar Korea Utara.
Bunyi letupan-letupan itu datang dari arah Korea Utara, katanya.
Stesen televisyen YTN di Korea Selatan yang memetik seorang pegawai tentera Korea Selatan berkata, Korea Utara dipercayai menjalankan latihan ketenteraan dan telah melepaskan 20 tembakan meriam.
Penduduk Yeonpyeong melarikan diri ke kubu-kubu perlindungan apabila mereka mendengar bunyi letupan itu.
Hanya beberapa puluh daripada 1,300 penduduk Yeonpyeong masih berada di pulau tersebut, manakala sebahagian besar telah melarikan diri selepas pihak berkuasa menggesa mereka berpindah berikutan serangan pada Selasa lalu.
Sementara itu, Pyongyang menyifatkan latihan perang Amerika Syarikat (AS)-Korea Selatan hujung minggu ini seumpama meletakkan Semenanjung Korea di ambang peperangan.
Agensi berita Pyongyang berkata, latihan tentera AS-Korea Selatan itu yang melibatkan sebuah kapal induk AS di perairan Laut Kuning merupakan tindakan biadab yang ditujukan terhadap Korea Utara.
"Situasi di Semenanjung Korea semakin hampir ke ambang perang.
"Zaman telah berlalu apabila amaran lisan sudah memadai," menurut kenyataan KCNA itu.
Sementara itu, Korea Selatan melantik bekas Pengerusi Ketua Staff Bersama, Kim Kwan-jin, 61, sebagai Menteri Pertahanannya yang baru selepas Kim Tae-young meletak jawatan semalam.
"Kami berpendapat, Kwan-jin mampu mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap tentera Korea Selatan dan pengaruhnya juga dapat membantu menaikkan semangat keseluruhan anggota tentera," kata setiausaha presiden, Hong Sang-pyo kepada media hari ini. - AFP/AP/REUTERS

No comments:

Post a Comment