Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Letupan ketiga semasa bertafakur



GREYMOUTH 26 Nov. - Lombong arang batu di New Zealand yang mengorbankan 29 pelombong yang terperangkap di bawah tanah minggu lalu digegarkan dengan letupan ketiga hari ini.
Pengerusi syarikat lombong berkata, tiada sebarang kecederaan berlaku dalam letupan terbaru di lombong Pike River itu.
Letupan dilaporkan berlaku lima minit sebelum pasukan penyelamat di Pike River dijadual bertafakur selama beberapa minit bagi mengenang mangsa-mangsa yang terbunuh pada letupan pertama Jumaat lalu.
"Letupan berlaku pada pukul 3.39 petang (10.39 pagi waktu Malaysia) selama 30 saat. Berdasarkan rakaman yang dibuat, letupan kali ini lebih kecil berbanding dua letupan lalu," kata pengerusi lombong Pike River Coal, John Dow kepada wartawan.
Di Greymounth, kira-kira 50 kilometer dari lombong, penduduk tempatan tidak menyedari tentang kejadian yang berlaku ketika mereka bertafakur selama beberapa minit sebagai memperingati insiden lombong terburuk di negara ini dalam tempoh hampir seabad.
Letupan kedua kelmarin menyebabkan pihak berkuasa mengumumkan kesemua 29 mangsa yang terperangkap maut, sekali gus mencetuskan suasana kesedihan di seluruh negara ini apabila Perdana Menteri John Key mengisytiharkan negara berkabung.
Letupan hari ini juga turut dilihat menggagalkan harapan syarikat untuk membawa 500 ahli keluarga mangsa ke lombong berkenaan esok untuk mengadakan majlis berkabung. - AFP

No comments:

Post a Comment