Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Lelaki menyamar polis ditahan



KUALA LUMPUR 26 Nov. - Seorang lelaki tidak sempat meraikan kejayaannya menyamun sebuah pusat hiburan di Jalan Chow Kit di sini hari ini apabila dia ditangkap polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, suspek yang berusia 59 tahun menyamar sebagai anggota polis dan mengarahkan pemilik premis menyerahkan wang tunai bagi tujuan perlindungan.
Jurucakap polis berkata, suspek dikatakan masuk ke dalam pusat hiburan terbabit dan berjumpa dengan pemilik premis.
Katanya, suspek memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta wang tunai sebanyak RM300 hingga RM400 sebagai bayaran perlindungan perniagaan mereka.
Difahamkan, suspek juga dikatakan sering menyamun peniaga gerai makan di kawasan berhampiran dengan menyamar sebagai anggota polis dan meminta wang perlindungan.
"Suspek turut mengugut dengan menyelak baju dan menunjukkan pistol jika mangsa enggan menyerahkan wang tunai," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tambah sumber itu lagi, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis dan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bergegas ke tempat terbabit.
Katanya, pihaknya berjaya menahan suspek yang terkejut dengan kehadiran polis.
"Siasatan mendapati suspek mempunyai 24 rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan samun.
"Suspek juga telah melakukan samun sebanyak tiga kali di premis yang sama dalam bulan ini," katanya.
Jelas sumber itu, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 dan 395 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment