Search This Blog

Friday, November 5, 2010

Lapan kapal lakukan kesalahan maritim ditahan



JOHOR BAHRU 4 Nov. - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan menahan lapan kapal dagang kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan maritim termasuk melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Pengerang.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim, Zulkifli Abu Bakar berkata, kesemua kapal berkenaan ditahan dalam operasi khas yang dijalankan selama dua hari berakhir semalam.
Beliau berkata, lapan kapal berkenaan ditahan dengan pelbagai kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
"Kapal berkenaan adalah Kapal MT Orapin II yang didaftarkan di Bangkok, Thailand, MT Merlion Star (Port Klang) manakala TB LCC VII, TB Manyplus 9, MT Aceoil No.1 dan MT Aquarius (Singapura).
"Kesalahan dilakukan adalah kerana mereka tidak memaklumkan ketibaan kapal di perairan negara, gagal menunjukkan resit bayaran Dius Rumah Api dan bersauh di kawasan larangan bersauh," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Zulkifli, dua buah kapal iaitu MT Merlion Dua yang didaftarkan di Basseterre dan MV Lu Rong Yu Shui yang didaftarkan di Shandong, China pula ditahan di kedudukan 2.8 batu nautika (5 kilometer) selatan Tanjung Stapa, dekat sini kerana melakukan pemindahan minyak tanpa kebenaran.
Menurutnya, kapal-kapal berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 491B(1)(l) Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Siasatan mendapati kapal MT Merlion Dua membekalkan minyak jenis Marine Gas Oil kepada kapal MT Lu Rong Yu Shui sebanyak 50,000 liter. Turut ditahan 12 anak kapal MT Merlion Dua dan 18 anak kapal MV Lu Rong Yu Shui.
"Anak kapal yang ditahan adalah warga Myanmar dan China serta berusia dalam lingkungan 21 hingga 53 tahun," ujarnya.
Mengikut statistik dari 2008 hingga kini, Maritim Malaysia Wilayah Selatan telah membuat 98 tangkapan melibatkan Akta Perkapalan Saudagar 1952 atas pelbagai kesalahan dengan melibatkan jumlah kompaun dan denda dianggarkan sebanyak RM230,000.

No comments:

Post a Comment