Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Laluan Kulim-Baling ditutup


KULIM 12 Nov. - Laluan Jalan Kulim-Baling berdekatan jambatan di pekan Merbau Pulas di sini terpaksa ditutup sementara kepada lalu lintas berikutan kejadian runtuhan tebing Sungai Sedim malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Chin Sin Song berkata, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan menutup laluan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini kerana ia kini berada pada tahap bahaya.
Katanya, runtuhan tebing sungai tersebut terhasil selepas sebuah paip besar yang menyalurkan air untuk kegunaan domestik pecah malam tadi.
"Laluan ini ditutup kepada semua jenis kenderaan mulai pukul 12 tengah hari sehingga 16 November ini.
"Kerja-kerja membaiki tebing runtuhan sedang dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulim/Bandar Baharu.
"Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dan kerosakan dilaporkan setakat ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Sin Song, pada mulanya, hanya kenderaan ringan dibenarkan menggunakan laluan berkenaan pada awal pagi ini.
Namun katanya, selepas menilai struktur tanah dan didapati semakin serius, pihak berkuasa terpaksa mengambil langkah-langkah menutup laluan tersebut kepada semua jenis kenderaan.
Sehubungan itu, para pengguna jalan raya dari arah Baling dan Kuala Ketil kini boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Kuala Bakong-Merbau Pulas untuk menuju ke Kulim.
"Sementara pengguna dari Kulim, Padang Serai yang ingin ke Baling, boleh menggunakan laluan Sungai Karangan-Lebuh Raya Kulim Baling sehingga kerja-kerja membaiki tebing sungai siap," katanya.

No comments:

Post a Comment