Search This Blog

Wednesday, November 10, 2010

Ibu sarat mengandung maut

KOTA TINGGI - “Saya buat rumah untuk isteri, tapi tak sangka dia akan pergi dulu,” demikian kata Borhanodin Rasuai, 43, suami kepada Jumirah Soogiman, 36, yang terbunuh dalam kemala ngan, tengah hari semalam.

Borhanodin berkata, sebelum ini dia dan isteri berniaga di merata tempat termasuk kali terakhir di Kuala Lumpur sebelum mengambil keputusan untuk pulang semula ke kampung.

Menurutnya, sebaik saja pulang ke kampung dia tidak lagi bekerja dan masih menanti panggilan kerja-kerja di kampung, sambil isteri mahu menjalankan perniagaan barangan basah dengan menggunakan van.

“Saya sudah menasihatinya agar tidak lagi berniaga memandangkan dia sarat mengandung, tetapi dia masih bertegas mahu berniaga hingga mengundang kejadian menyayat hati ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Borhanodin berkata, hanya sebulan saja lagi isterinya itu bakal melahirkan anak keenam dan segala barangan keperluan kelengkapan sudah dibeli lebih awal.

“Sedih apabila barang kelengkapan sudah dibeli, namun isteri dan bakal anak tiada, tetapi saya reda dengan ketentuan ini,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, isterinya itu, baru mengambil anak keempatnya, Mohamad Razaq, berusia enam tahun di sebuah Taman Bimbingan Kanak (Tabika) di Mawai Baru, Kota Tinggi selepas pulang berniaga.

“Anak saya patah di bahagian kaki dan masih menerima rawatan kecemasan di Hospital Kota Tinggi,” katanya.

Borhanodin turut menyifatkan isterinya itu sebagai seorang yang penyayang, baik hati, dan sentiasa menghormatinya sebagai suami.

Sementara itu, anak sulung mangsa, Nurul Atieka, 18, berkata, sepanjang waktu persekolahan semalam dia gelisah seperti ada sesuatu yang tidak kena hingga diberitahu bahawa ibunya itu maut dalam kemalangan.

Nurul yang juga pelajar tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laksamana baru menjalani peperiksaan akhir tahun semalam.

“Tidak sangka rasa tidak sedap hati adalah petanda bahawa emak kesayangan sudah tiada lagi dan ia adalah sesuatu yang sukar untuk kami terima,” katanya.

No comments:

Post a Comment