Search This Blog

Monday, November 22, 2010

Korban denggi cecah 125 orang



Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2010/11/22

Wabak makin serius dengan jumlah kematian dicatatkan meningkat: Liow 

KUALA LUMPUR: Ancaman wabak denggi di negara ini semakin serius selepas jumlah angka korban sehingga semalam terus meningkat mencecah 125 mangsa, peningkatan 60 peratus berbanding 77 kes kematian dalam tempoh sama tahun lalu.
Dua kematian terbaru dicatatkan semalam membabitkan mangsa dari Sandakan dan Tawau, Sabah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata jumlah kes denggi dilaporkan turut meningkat 18 peratus tahun ini kepada 42,659 kes sehingga 18 November lalu berbanding 36,135 kes dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu. 

Katanya, peningkatan itu tidak selari dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan mengurangkan kes denggi sebanyak 10 peratus setiap tahun melalui pelbagai pendekatan mencegah, selain meningkatkan kesedaran orang ramai dan pengamal perubatan. 

“Wabak denggi dalam negara kita semakin serius. Bilangan kematian begitu tinggi dan kita tak boleh lambat mengambil tindakan dengan kerjasama semua pihak. Doktor, pengamal perubatan swasta dan klinik kerajaan perlu mengenalpasti tanda-tanda denggi lebih awal dan memberi rawatan segera,” katanya di sini, semalam. 

Liow berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Penyakit Berjangkit anjuran Kementerian Kesihatan dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan pelancaran semula Garis Panduan Amalan Klinikal (CGP). 
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dan Presiden MAA, Dr David KL Quek. 

Katanya, garis panduan klinikal diperkenalkan tahun lalu yang boleh diakses melalui laman web kementerian, www.moh.gov.my akan menjadi panduan kepada pengamal perubatan di klinik swasta dan kerajaan bagi merujuk kes denggi dengan lebih cepat kepada hospital. 

“Ini penting kerana kalau tak tahu cara pengesanan awal dan lewat memberi rawatan, kadar kematian terus meningkat. Kalau dulu orang sakit denggi meninggal dunia seminggu selepas dikesan, sekarang hanya empat hari. 

“Buat masa ini tiada ubat atau vaksin khusus untuk penyakit denggi, maka ia sangat penting pesakit yang disyaki mengalami penyakit itu mendapat rawatan pada peringkat awal agar ia tidak menjadi serius,” katanya. 

Liow berkata, statistik menunjukkan kurang 40 peratus kes yang dirujuk terus ke hospital selepas pesakit menerima rawatan awal di klinik swasta atau kerajaan. 

Selain menyeru pengamal perubatan memainkan peranan lebih aktif dengan merujuk suspek denggi lebih awal ke hospital, Liow juga menggesa masyarakat bekerjasama menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan tempat tinggal masing-masing.

No comments:

Post a Comment