Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Komandan depot ditukar serta-merta


KUALA LUMPUR 12 Nov. - Jabatan Imigresen mengambil tindakan tukar serta-merta terhadap Komandan Depot Tahanan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas insiden dua tahanan warga Nigeria meloloskan diri sebelum diusir keluar dari negara ini, awal pagi semalam.
Selain pegawai depot tahanan terbabit, dua pegawai Jabatan Imigresen yang terlibat dalam insiden itu juga dikenakan tindakan gantung tugas sehingga siasatan selesai.
Menurut sumber, tindakan itu dianggap pertukaran biasa setelah mengambil kira semua keperluan semasa. Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan tindakan itu diambil kerana kegagalan individu terbabit menguruskan proses pengusiran kedua-dua tahanan berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini enggan mengulas lanjut berhubung kejadian.
Beliau bagaimanapun mengesahkan tindakan jabatannya menggantung kerja dua orang pegawai beliau untuk tujuan siasatan.
Akhbar hari ini melaporkan, dua warga Nigeria berjaya meloloskan diri dari kenderaan Jabatan Imigresen ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang untuk dihantar pulang ke negara asal, malam semalam.
Ketua Pengarah Depot Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohamed Asri Yusof berkata, kedua-dua lelaki tersebut sebelum ini ditahan di Depot Tahanan Imigresen KLIA atas kesalahan penyalahgunaan pas pelajar dan dikenakan tindakan pengusiran.
Menurutnya, sejurus tiba di KLIA, salah seorang pegawai pengiring terbabit kemudian membawa warga Palestin untuk urusan daftar masuk, manakala seorang lagi pegawai menjaga dua lagi tahanan Nigeria di dalam van.
Katanya, pegawai pengiring bersama dua tahanan Nigeria itu dipercayai ditahan tujuh lelaki Afrika yang kemudiannya bertindak melarikan Solomon Udo Eneh dan Osuji Chinedu.
Ketika ini, usaha menjejaki dua warga Nigeria itu sedang dilakukan dengan bantuan pihak polis.

No comments:

Post a Comment