Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Kilang proses makanan di Pulau Pinang didenda RM22,500 kerana guna pengawet terlarang


GEORGE TOWN - Pemilik Kilang Teoh Guan Hup Food Stuff Industries didenda RM22,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menggunakan bahan pengawet yang dilarang dalam produk makanan keluarannya. 

Majistret Mohd Firdaus Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas Gooi Soon Chye mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan yang dihadapi kilangnya mengikut Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983 (Pindaan 2002).

Dia dihukum mengikut Seksyen 13B(4) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, kilang itu didakwa menggunakan asid borik dan asid benzoik dalam produk makanan yang diproses dan diedarkannya iaitu mee kuning, kuey teow, hor fun dan bee tai bak.

Sampel produk kilang berkenaan telah diambil oleh pegawai kesihatan negeri Faizal Mohamad Fauzi pada 19 Mei lepas untuk dianalisis di Makmal Kesihatan dan Kualiti Makanan Pulau Pinang. 

Keputusan analisis menunjukkan kesemua sampel mengandungi asid borik dan asid benzoik, iaitu sejenis bahan pengawet yang dilarang penggunaannya dalam makanan.

Pendakwaan dijalankan oleh Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan dari Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Ideris Mohamad manakala Gooi tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ideris meminta mahkamah mengenakan hukuman berbentuk teladan terhadap Gooi yang hadir sebagai wakil kilangnya, kerana kesalahan itu dilakukan secara berulang sejak 2005.

Beliau berkata, kilang berkenaan telah didenda sebanyak lapan kali berjumlah RM14,000 oleh mahkamah atas kesalahan yang serupa.

Sementara itu, dalam rayuannya, Gooi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang ringan.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment