Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Kereta putus dua, anggota polis selamat


Keadaan kereta yang dipandu seorang anggota polis yang terputus dua akibat terlibat dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kereta di Jalan Seremban-Kuala Pilah, dekat Bukit Putus, semalam.


KUALA PILAH 12 Nov. – Seorang anggota polis terselamat walaupun kereta jenis Proton Wira dipandunya terputus dua dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus di sini hari ini.
Kejadian berlaku pukul 9.20 pagi ketika mangsa yang berusia 25 tahun dan hanya ingin dikenali sebagai Amir, memandu keretanya menghala ke Seremban.
Kereta dipandunya itu dikatakan terbabas kerana keadaan jalan yang licin akibat hujan dan berpusing beberapa kali sebelum dirempuh sebuah Proton Gen2 dinaiki seorang wanita dan kanak-kanak dari arah bertentangan.
Berikutan rempuhan itu, kereta berkenaan terputus dua. Bahagian hadapannya terpelanting di laluan arah Seremban, sebelum dirempuh sebuah lagi kereta Proton Wira yang dipandu seorang wanita dipercayai sedang mengandung.
Seorang saksi, Saparul Kamal Othman, 44, berkata, dia dalam perjalanan menuju ke Seremban dan ternampak kereta Proton Wira di hadapannya tiba-tiba terbabas lalu berpusing beberapa kali.
“Kemudian saya nampak kereta itu melintang di tengah jalan dan pada masa itulah, sebuah kereta Proton Gen2 dari arah bertentangan merempuhnya, menyebabkan bahagian hadapan Wira tersebut putus dua.
“Serpihan kenderaan itu pula dilanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang wanita dari arah Kuala Pilah,” katanya.
Berikutan itu, dia segera memberhentikan kenderaan dan membantu mangsa yang cedera dalam kereta Proton Gen2 dan Proton Wira yang dinaiki wanita berkenaan.
“Saya kemudian menghubungi pasukan penyelamat dan kesemua mangsa yang berjaya dikeluarkan dari kereta yang remuk itu telah dibawa oleh orang awam ke hospital.
“Seorang wanita berusia 50-an bersama seorang budak lelaki berusia belasan yang menaiki kereta Proton Gen2 itu dilihat mengalami kecederaan pada kaki dan kepala.
“Pemandu Proton Wira yang melanggar serpihan bahagian hadapan kereta yang terputus dua itu pula dilihat cedera pada bahagian dadanya,” kata Saparul.
Walaupun kereta dipandu anggota polis itu terputus dua, mangsa cuma mengalami kecederaan ringan pada tangannya.
Sementara itu, Amir berkata, dia masih terkejut dengan kemalangan yang menimpa dirinya.
“Kereta yang saya pandu tiba-tiba tidak dapat dikawal dan berpusing beberapa kali sebelum melanggar sebuah kereta Proton Gen2. Saya tidak tahu apa berlaku kerana jalan licin.
“Saya terkejut kerana kereta ini terputus dua. Alhamdulillah, saya tidak mengalami kecederaan serius,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.
Berikutan kemalangan tersebut, berlaku kesesakan yang teruk di laluan menghubungkan Seremban dan Kuala Pilah.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi memberitahu, siasatan berhubung kemalangan itu sedang dilakukan.

No comments:

Post a Comment