Search This Blog

Monday, November 22, 2010

Kenduri terakhir



SEKINCHAN - Semalam merupakan undangan kenduri perkahwinan terakhir buat seorang warga emas apabila dia maut ketika perjalanan pulang setelah terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Tali Air 6, hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, kira-kira 12 tengah hari. 

Mangsa, Ruminah Mat Kassim, 76, meninggal dunia di tempat kejadian sebaik motosikal jenis Yamaha yang dinaiki bersama anak lelakinya dirempuh sebuah kereta yang dalam perjalanan dari arah Sungai Besar menghala ke Tanjung Karang. 

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohamad berkata, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala sementara anak mangsa berusia 45 tahun patah kaki kiri. 

Menurutnya, kereta jenis Mercedes yang dinaiki sebuah keluarga dipandu di lorong laju, gagal mengelak motosikal berkenaan yang cuba untuk melintas laluan menyebabkan pertembungan berlaku. 

“Mangsa yang melambung dan tercampak ke bahagian tengah jalan mati di tempat kejadian sementara anak lelaki terseret beberapa meter cedera di bahagian kaki kiri, topi keledar yang digunakan mangsa juga tercampak,” katanya. 

Kedua-duanya, Noor Mushar berkata, dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Parit 7 Ban 1 Sungai Leman setelah selesai menghadiri majlis perkahwinan di rumah kenalannya di Tali Air 6 berhampiran Kampung Sungai Labu. 

Jenazah mangsa yang dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam telah dituntut keluarga sementara anak mangsa kini dirawat di hospital sama. 

Pemandu dan penumpang kereta dilaporkan selamat.

No comments:

Post a Comment