Search This Blog

Wednesday, November 3, 2010

Keluarga 38 mangsa Merapi masih trauma



Laporan dari Yogyakarta, Indonesia oleh Syed Azman Syed Ali
bhnews@bharian.com.my
2010/11/03

SEMALAM genaplah seminggu Gunung Merapi meletuskan awan panas dan debu lahar, namun kebanyakan keluarga 38 mangsa terkorban masih dalam keadaan trauma dan bersedih kerana kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata. 

Antaranya, dua adik beradik, Tumini, 17, dan Adri, 15, dari Desa Kinaharjo, yang kehilangan tempat bergantung apabila ibu bapa mereka terkorban dalam insiden yang turut menyaksikan lebih 40,000 mangsa di daerah Sleman, Klaten, Magelang dan Boyolali dipindahkan.
Tumini berkata bapanya, Darmadi, 45, meninggal dunia di rumah kerana tidak sempat lari ke pusat pemindahan manakala ibunya, Ratmi, 32, yang melecur separuh badan kerana terkena awan panas gunung berapi disahkan meninggal dunia lima hari kemudian di Rumah Sakit Umum Utama (RSUP) Dr Sardjito di sini.
“Sudah hancur semuanya. Saya dan adik tidak punya apa-apa lagi,” katanya kepada Berita Harian, petang semalam. 

Tumini dan Adri ditemui di lokasi baru pusat penempatan sementara rim satu (kawasan kritikal) di sebuah pensantren di Kedungbrayut, Wukirsari, Sleman yang menempatkan kira-kira 300 mangsa dari Kinaharjo yang juga kawasan paling teruk menerima kesan bencana alam itu. 

Kawasan itu dilaporkan musnah sepenuhnya dengan sebilangan besar rumah ranap dan dilitupi debu lahar dengan ternakan mati bergelimpangan di semua tempat. 

Kawasan dalam status awas itu turut didiami jurukunci Merapi, Mbah Maridjan, antara 15 mangsa korban pertama yang disahkan mati akibat letusan Merapi pada petang Selasa lalu yang memuntahkan awan panas atau wedhus gembel sepanas 600 darjah Celsius dan debu lahar yang membahayakan kesihatan. 
Tumini berkata, ketika kejadian, dia dan adiknya terlebih dulu turun ke pusat pemindahan yang terletak kira-kira enam km dari Kinaharjo sebelum ibunya yang kemudian terkena hembusan debu volkanik dalam perjalanan, sementara bapanya terperangkap di rumah ketika awan panas semakin mengganas. 

Adri berkata, beliau akan menjadi lebih tabah dan kuat untuk menjaga kakaknya yang juga satu-satunya ahli keluarga beliau yang masih ada untuk meneruskan hidup. 

“Saya tidak boleh menangis,” katanya kelihatan sugul kerana terpaksa menyaksikan bapanya dikebumikan secara beramai-ramai di Kampung Sidoredjo, Sleman, dekat sini. 

Letusan gunung berapi yang berlaku seiring ketika tsunami dan gempa bumi melanda Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat itu, turut mengorbankan seorang wartawan berita portal yang cuba memujuk Mbah Maridjan turun dari gunung berapi paling aktif di dunia itu yang disifatkan ahli volkanologi sebagai ‘sukar diramalkan’. 

Ia terus meletuskan awan panas dan debu lahar beracun, namun tiada mangsa korban baru dicatatkan sehingga petang semalam.

No comments:

Post a Comment