Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Kejap pun cukup mama'

GERIK: “Mama, tolonglah datang temui kami walaupun sekejap pada Aidiladha ini. Tiada perkara lain yang kami minta, cukup sekadar mama korbankan sedikit masa untuk bertemu kami terutama Muhammad Aidilfitri yang semakin petah bercakap.
“Luka dan kesedihan masih terasa selepas mama gagal tunaikan janji untuk menyambut Aidilfitri bersama kami. Kami rindukan mama dan setiap hari menatap gambar mama,” luah Nur Syafiqah Abdullah, 14.

Kisah Nur Syafiqah dan empat adiknya iaitu Nur Syahidah, 11, Muhammad Azhar, 9, Siti Nur Aishah, 7, dan Muhammad Aidilfitri, 5, dari Kampung Bersia Lama, dekat sini, pernah mendapat liputan Harian Metro selepas ditinggalkan ibu mereka, Siti Rohmah Asnawi, 34.

Selepas kematian bapa, Awang Bakar Jusoh pada 2 Oktober 2008, lima beradik itu tinggal bersama ibu yang juga warga Indonesia di sebuah rumah sewa di Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

Namun, episod malang mereka bermula apabila ibu mereka menghilangkan diri menyebabkan mereka terpaksa berlapar dan mengharapkan ihsan jiran serta orang ramai sebelum abang mereka yang berlainan ibu, Mohd Irwandi, 24, mengambil mereka tinggal bersamanya di Kampung Bersia Lama, di sini, selepas mendapat tahu nasib adik-adiknya.

Nur Syafiqah dibintikan Abdullah dalam sijil lahir kerana dikatakan ibu bapa mereka menggunakan sijil nikah palsu, namun empat lagi adiknya dicatat atas nama Awang Bakar sebagai bapa mereka.

Nur Syafiqah berkata, adiknya terutama Muhammad Aidilfitri semakin kerap bertanyakan ibu mereka menyebabkan dia sedih dan tidak tahu bagaimana mahu memberikan jawapan.

“Adik-adik tidak meminta apa-apa daripada mama. Mereka hanya mahu memeluk mama dan mendapat belaian ibu. “Cuma saya harap jika mama pulang, mama dapat selesaikan masalah permohonan MyKad saya yang masih tidak dimiliki sehingga kini.

“Ini penting kerana saya mahu menyambung semula persekolahan tahun depan dan menjadi guru,” katanya sebak dan tidak dapat meneruskan temubual.

Nur Syafiqah yang ditemui di rumah baru abangnya, di sini, mendapat 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008.

Sementara itu, Mohd Irwandi berkata, mereka sekeluarga lega selepas dapat membina rumah baru hasil sumbangan orang ramai.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menghulurkan sumbangan kerana bersimpati dengan nasib adik saya,” katanya.

“Saya juga berterima kasih kepada Harian Metro yang menyiarkan penderitaan keluarga kami. Ia membantu mengubah kehidupan kami sekeluarga,” katanya.

No comments:

Post a Comment