Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Kecewa air bersih lambat


KOTA BHARU 14 Nov. – Tempoh selama 17 tahun untuk rakyat negeri ini menerima bekalan air bersih sepenuhnya menimbulkan keresahan kepada para pengguna yang telah menghadapi krisis air sejak 20 tahun lalu.
Rata-rata penduduk yang ditemui kecewa dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar negeri, Mejar (B) Datuk Md. Anizam Abdul Rahman yang menyatakan bahawa kerajaan Pas Kelantan bercadang membekalkan seluruh Kelantan dengan air bersih pada tahun 2027.
Seorang penduduk, Nazri Abd. Halim, 42, mempersoalkan ketidakcekapan kerajaan negeri itu sehingga rakyat terpaksa menunggu selama 17 tahun untuk mendapatkan air bersih kerana ia merupakan satu tempoh yang terlalu lama terpaksa dilalui oleh rakyat negeri ini.
“Kenapa sampai begitu lama sekali kerajaan perlu mengambil tempoh untuk selesaikan masalah yang sudah lama melanda penduduk negeri ini? Krisis ini bukan perkara baru, bahkan ia berlarutan sejak 20 tahun lalu.
“Kerajaan negeri sepatutnya melihat masalah air ini sebagai masalah utama dan mengambil apa jua inisiatif demi keselesaan rakyat,” katanya yang berasal dari kampung Cempaka, Pengkalan Chepa dekat sini, kelmarin.
Dia yang juga pengusaha kilang plastik berkata, kerajaan negeri perlu membuktikan kemampuannya dalam menangani setiap masalah yang membelenggu termasuk dalam isu air bersih.
Ngiang Pong Kong, 72, pula berkata, kerajaan negeri seharusnya selesaikan masalah tersebut secepat mungkin memandangkan air merupakan sumber yang penting kepada kehidupan manusia.
Dia yang tinggal di Jalan Gajah Mati dekat sini mengakui sudah lama menerima bekalan air kekuningan dan hairan dengan tindakan kerajaan negeri dalam menangani masalah tersebut sehingga perlu menunggu 17 tahun lagi.
“Saya sendiri tak pasti 17 tahun itu masih hidup atau sudah mati. Saya sudah lama menderita dengan masalah air ini. Takkan hendak tunggu sampai berbelas-belas tahun lagi.
“Saya minta kerajaan cepat selesaikan masalah ini, jangan tunggu sampai berbelas-belas tahun. Saya rasa kalau kerajaan Barisan Nasional jadi kerajaan sudah lama masalah ini dapat di atasi,” katanya.
Sementara itu, Kadhijah Ismail, 37, seorang penjual nasi di sekitar bandar ini berkata, kegagalan kerajaan negeri membekalkan air bersih boleh mengundang pelbagai penyakit kepada masyarakat.
“Kerajaan mesti memandang serius terhadap masalah seperti ini kerana air tidak bersih akan memberi kesan kepada kesihatan kita. Kita selalu dengar penyakit seperti taun dan kulit adalah berpunca dari air yang tidak bersih,” katanya.
Manakala Fatihah Azlan, 24, pula berpendapat tempoh 17 tahun itu tidak dapat diterima akal.
Katanya, sekiranya kerajaan memandang isu air sebagai masalah utama rakyat negeri ini mereka seharusnya memperuntukan bajet yang lebih besar untuk membaik pulih sistem bekalan air dengan bijaksana berbanding peruntukan lain.

No comments:

Post a Comment