Search This Blog

Wednesday, November 3, 2010

JPN siasat kes kakitangan subahat jual bayi



KUALA LUMPUR, 2 Nov - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menjalankan siasatan dalaman sekiranya wujud salah laku di kalangan petugas ekoran laporan yang mendakwa kakitangan JPN disyaki bersubahat menjual bayi.
"Sekiranya didapati ada unsur-unsur salah laku dan penyelewengan, jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan berdasarkan perundangan sedia ada," kata Timbalan Ketua Pengarahnya (Operasi) Zulkifli Rahmat dalam satu kenyataan di sini.
Sebuah akhbar hari ini melaporkan terdapat kakitangan JPN disyaki bersubahat dengan sindiket penjualan bayi bagi memudahkan urusan pendaftaran bayi dan pengeluaran sijil kelahiran asli tanpa prosedur yang ketat.
Laporan itu mendakwa selepas transaksi jual beli, pembeli dibawa oleh anggota sindiket atau kakitangan hospital ke Pejabat JPN, manakala "kaki" mereka di kalangan kakitangan jabatan sudah sedia menunggu untuk mendaftar dan pengeluaran sijil kelahiran lengkap dengan nama bayi menggunakan bin atau binti bagi pasangan Islam dan bapa serta ibu bagi yang bukan Islam.
Berhubung dakwaan penglibatan petugas JPN dalam kes itu, Zulkifli menjelaskan bahawa sistem pendaftaran kelahiran di JPN adalah dikawal dan kelulusan setiap permohonan tidak dilakukan oleh petugas kaunter secara berseorangan.
Bagi tujuan kawalan dan keselamatan, katanya JPN juga mempraktikkan sistem kelulusan berperingkat di mana setiap permohonan pendaftaran kelahiran perlu disemak oleh penyelia sebelum diluluskan dan dikeluarkan sijil. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment