Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

JHEAINS tahan tiga lelaki



Anggota penguat kuasa JHEAINS menahan seorang lelaki (tengah) yang dipercayai melakukan perbuatan menyalahi hukum syarak di Kuala Pilah, semalam.



KUALA PILAH 12 Nov. - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan tiga lelaki termasuk seorang yang mendakwa solat Jumaat di Kampung Parit di sini sebagai amalan bidaah.
Penyelaras Operasi jabatan itu, Mohd. Zol Sidek berkata, ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan kerana melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak dalam satu serbuan di Maahad Ittiba' Assunnah di sini hari ini.
Ketiga-tiga mereka dipercayai melakukan solat zuhur ketika waktu solat Jumaat belum dilakukan lagi tanpa uzur syarie.
Penyelaras Operasi jabatan itu, Mohd. Zol Sidek berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan di bawah seksyen tersebut.
''Salah seorang daripada tiga individu yang ditahan itu juga melakukan kesalahan mengeluarkan kenyataan berlawanan dengan mana-mana fatwa yang dikeluarkan dengan sah oleh Mufti Kerajaan Negeri.
''Lelaki itu kini ditahan mengikut Seksyen 51 enakmen sama dan boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut ditahan adalah dua wanita yang turut berada dalam madrasah berkenaan dan mereka telah dibebaskan selepas keterangan diambil oleh anggota penguat kuasa JHEAINS di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.
''Mereka telah menggunakan fahaman sendiri berhubung solat Jumaat. Salah seorang daripadanya mendakwa solat Jumaat yang diadakan di sebuah masjid dalam kariah Kampung Parit di sini merupakan perkara bidaah.
''Disebabkan dakwaan itu, mereka tidak mengerjakan solat Jumaat di masjid berkenaan dan dilihat berada dalam sebuah madrasah di Kilometer 1.5, Jalan Seremban Lama," katanya.
Operasi yang disertai 60 anggota terdiri daripada penguat kuasa JHEAINS, polis dan Majlis Keselamatan Negara cawangan negeri itu diketuai oleh Ketua Unit Operasi, Ahmad Zaki Hamzah.
Katanya, semua yang ditahan itu telah dibawa ke IPD untuk disoal siasat.
''Hasil siasatan berkenaan akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaraya sebelum pertuduhan dapat dibuat di mahkamah kelak," katanya.

No comments:

Post a Comment