Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Jam tangan arwah suami jadi kenangan


JOHOR BAHRU - Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus dalam tragedi penambakan pantai di Pantai Lido, di sini, kelmarin, berakhir apabila mayat mangsa ditemui Pasukan Bomba dan Penyelamat kira-kira jam 7.30 pagi, semalam. 

Mayat Mohd Nor Miskan, 36, ditemui kira-kira 10 meter dari tempat kejadian setelah gerakan mencari bermula jam 10.30 malam kelmarin. 

Pegawai Bomba Atas Bahagian Operasi, Aminah Saimin berkata, pasukan penyelamat menjumpai mayat terapung di bahagian pelampung saluran penyedut pasir dengan keadaan masih lengkap berpakaian. 

“Anggota penyelamat menjumpai mayat tersebut terapung di bahagian pelampung kira-kira 10 meter dari tempat mangsa jatuh dan keadaannya masih lengkap berpakaian dan seterusnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat," katanya. 

Mangsa yang merupakan operator jengkaut bagi projek pembinaan pusat komersial dan residen di bawah Syarikat Central Malaysian Properties Lido Boulevard difahamkan berkhidmat dengan syarikat itu sejak 10 tahun lalu. 

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norlaila Parijan, 38, bersama empat anak iaitu tiga perempuan dan seorang lelaki dalam lingkungan umur lima hingga 13 tahun. 

Norlaila berkata, dia masih terkejut dan bersedih dengan apa yang menimpa suaminya, namun dia dan keluarga reda serta menerimanya sebagai ketentuan Ilahi. 

Ketika menunggu laporan bedah siasat hospital bagi pengurusan jenazah, salah seorang kakitangan HSA menyerahkan jam tangan milik mangsa yang masih ada di pergelangan tangannya kepada isteri mangsa. 

Norlaila terus sebak melihat jam tangan milik arwah suami dan menganggapnya sebagai kenangan daripada arwah. 

“Belakangan ini arwah sangat mesra dengan kami lebih dari biasa dan apabila kami menerima berita kejadian yang menimpanya, kami sekeluarga tidak putus-putus berdoa serta menunaikan solat hajat moga Allah menyelamatkannya. 

“Sungguhpun begitu, kami menerima pemergiannya dengan reda dan semoga rohnya ditempatkan di sisi hamba-Nya yang beriman," katanya ketika ditemui di ruang menunggu Jabatan Forensik HSA, di sini, semalam. 

Sementara itu, bapa mangsa, Miskan Yusuf, 68, berkata, hubungan antara beliau dengan arwah anaknya disifatkan seperti rakan karib kerana mereka amat rapat. 

“Sudah tentu pemergiannya membuatkan saya rasa kehilangan yang amat sangat, namun saya menerimanya dengan hati yang terbuka," katanya sambil menahan kesedihan. 

Jenazah Allahyarham dibawa ke Kampung Parit Hassan, Simpang Renggam, dekat sini, untuk dikebumikan.

No comments:

Post a Comment