Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

JAIS tumpas ajaran sesat Islam Jamaah



Oleh Sarah Sulaiman

2010/11/27

ANGGOTA penguat kuasa JAIS merampas dokumen milik kumpulan itu di Kampung Sungai Tangkas, Kajang, semalam.
ANGGOTA penguat kuasa JAIS merampas dokumen milik kumpulan itu di Kampung Sungai Tangkas, Kajang, semalam.
Kumpulan dipercayai melatih ahli ‘Skuad Berani Mati’ untuk laksana misi membunuh

BANGI: Satu kumpulan ajaran sesat yang merekrut ‘Skuad Berani Mati’ untuk sebarang urusan jihad termasuk dikatakan sanggup menjalankan kerja membunuh ditumpaskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam serbuan di sebuah surau persendirian di Kampung Sungai Tangkas, di sini semalam.

Hasil risikan teliti anggota penguat kuasa JAIS selama setahun yang turut mengikuti perkembangan pengikut amalan itu, 21 pengikut ajaran sesat Islam Jamaah, berumur 29 hingga 55 tahun yang baru selesai mengadakan ‘solat Jumaat’ di surau terbabit, diberkas semalam.
Mereka ditahan dalam serbuan di surau berkenaan yang dipercayai dijadikan markas ajaran terbabit, pada jam 12 tengahari.
Ketua Penguat Kuasa Agama Negeri Selangor, Mohamad Rais Rasid, berkata ajaran sesat itu diperkenalkan Mohd Madigol Abd Aziz yang dikenali sebagai Nurhasan Al-Ubaidah Lubisdi dari Jawa Timur, Indonesia pada 1941.

Ajaran dipercayai disebarkan di Hulu Langat oleh Abdul Wahab Jantan, 41 yang berasal dari Kajang sejak tahun 2000 di surau terbabit, yang dibina hasil kutipan yuran pengikutnya.

Bagaimanapun, Abdul Wahab gagal dikesan kerana dipercayai berada di Solo, Indonesia. Isterinya, Ramizah Shaari, 51, ketika ditemui di rumah yang terletak bersebelahan surau terbabit memberitahu suaminya itu berada di Solo atas urusan perniagaan broker. 

Mohamad Rais berkata, apa yang mengejutkan, pengikut ajaran itu melakukan beberapa penyelewengan yang memesongkan akidah termasuk perlu bai’ah iaitu sumpah taat setia kepada pengasas selain mendakwa hanya pengikut Islam Jamaah saja sebagai Islam sebenar manakala orang lain dianggap kafir. 
“Ajaran yang sudah difatwakan sebagai ajaran salah dan sesat pada 24 September 1998 itu turut menolak hukum Ijma dan Qias, najis mughallazah tidak perlu disamak serta binatang yang mati di dalam perkampungan orang Islam Jamaah tidak perlu disembelih dan halal dimakan.

“Mereka juga hanya perlu melakukan sembahyang Jumaat di rumah dengan menyatakan sembahyang Jumaat di masjid hanya adat saja, tidak perlu meletakkan al-Quran di tempat yang suci kerana tiada al-Quran yang betul di dunia dan boleh mengampunkan dosa dengan mengisi borang tebus dosa yang disahkan oleh pemimpin, ” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Operasi yang dijalankan membabitkan 34 anggota JAIS, 30 anggota polis Kajang serta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) itu turut menahan orang kuat kepada pemimpinnya, Amir Herman Amirruddin yang bertindak mengimamkan solat Jumaat yang dijalankan di surau persendirian itu.

Selain mengadakan solat Jumaat di surau persendirian tanpa kebenaran mufti, kumpulan ini juga dipercayai menjalankan nikah sindiket diwalikan oleh pemimpin dengan hanya mengisi beberapa borang yang disaksikan oleh pengikutnya. 

Mohamad Rais berkata, setakat ini JAIS mengadakan kerjasama dengan pihak Imigresen bagi menahan pemimpin ajaran itu di mana-mana lapangan terbang atau laluan lain bagi mengelak berlakunya penularan semula ajaran itu di Hulu Langat.

Beliau berkata, semua pengikut ajaran sesat yang ditahan itu dibawa ke Mahkamah Syariah Hulu Langat bagi tujuan jaminan tahanan sementara dan direman sehingga Selasa ini bagi tujuan pendakwaan.

No comments:

Post a Comment