Search This Blog

Tuesday, November 23, 2010

Hampir 20 kes bomoh tipu



KUALA LUMPUR – Gara-gara mahu jadi kaya serta-merta, ramai orang gelap mata sehingga sanggup mempertaruhkan masa depan kepada bomoh nombor ekor yang hanya dikenali menerusi corong telefon. 

Walaupun hanya mendengar suara, ramai individu yang terpedaya kerana janji manis yang ditawarkan bomoh itu kononnya boleh menjangkau sehingga 10 kali ganda wang yang diberikan. 

Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, ini terbukti apabila sepanjang tahun 2007 sehingga semalam, 19 kes mangsa diperdaya bomoh ekor membabitkan kerugian RM930,000 dikesan pihaknya. 

Menurutnya, bagi tahun ini, terdapat enam kes menggunakan modus operandi sama dan seorang mangsa adalah Orang Asli yang kerugian kira-kira RM30,000. 

Beliau berkata, kebanyakan individu yang menjadi mangsa adalah ahli perniagaan, suri rumah dan penganggur. 

Chong berkata, seorang suri rumah warga emas turut menjadi mangsa apabila risalah ubah nasib yang diterimanya pada November tahun lalu, benar-benar ‘mengubah’ kehidupannya. 

Menurutnya, mangsa, Yeoh, 57, terus menghubungi dua nombor telefon yang tertera pada kertas itu bagi membeli nombor ekor daripada seorang bomoh yang memperkenalkan diri sebagai Master Gong Da Si. 

“Lelaki itu berjanji akan bantu ubah hidup mangsa dan menetapkan syarat, mangsa perlu membuat pembayaran kepadanya. Mereka juga tidak boleh bertemu, dikhuatiri akan mengganggu proses mendapatkan kekayaan itu. 

“Mangsa diminta membuat pembayaran sebanyak empat kali menerusi akaun bank atas penama berlainan, kononnya untuk upacara sembahyang dan membeli pakaian sembahyang bagi mempercepatkan mangsa memperoleh kekayaan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam. 

Chong berkata, mangsa memasukkan wang berjumlah RM118,000 ke dalam akaun diberikan. 

Pada kali kedua dan ketiga, mangsa memasukkan lagi RM9,600 dan RM5,400 ke akaun berasingan. 

“Mangsa membuat bayaran terakhir RM71,400 kepada bomoh itu kerana yakin bahawa pulangan akan diperoleh dalam tempoh terdekat mencecah sehingga jutaan ringgit ,” katanya. 

Beliau berkata, bomoh nombor ekor itu bagaimanapun terus meminta wang daripada mangsa dengan memberi pelbagai alasan sehingga mangsa gagal membuat pembayaran. 

"Pada 20 Oktober lalu, mangsa cuba meminjam wang daripada anaknya untuk membuat pembayaran kepada bomoh itu, dan terkejut apabila diberitahu dia sebenarnya ditipu bomoh itu. 

"Mangsa yang kerugian kira-kira RM204,400 kemudian membuat laporan di Balai Polis Jinjang pada 27 Oktober lalu," katanya

No comments:

Post a Comment