Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Haiti bimbang berlaku penipuan undi



PORT-AU-PRINCE 26 Nov. - Haiti kini dilanda kebimbangan kemungkinan berlaku penipuan undi ketika pilihan raya Presiden negara itu Ahad ini.
Haiti yang merupakan antara negara termiskin di dunia kini dalam proses pemulihan selepas ditimpa gempa bumi yang mengorbankan ratusan ribu rakyatnya selain masalah penularan wabak taun.
Kematian akibat kolera kini berjumlah 1,600 orang dan jumlah mereka yang dijangkiti wabak itu kini terus meningkat kepada 70,000 orang.
Pilihan raya Presiden Ahad ini akan memilih pengganti Presiden sekarang, Rene Preval yang memegang jawatan itu sejak Mei 2006.
Ketua Majlis Pilihan Raya Haiti, Richard Dumel berkata, beliau bimbang kemungkinan berlakunya penipuan undi yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya berkenaan.
Katanya, beliau telah mengarahkan pengajur pilihan raya di seluruh negara supaya mengesan masalah penipuan undi itu.
"Saya dapat merasakan penipuan undi akan berlaku di merata tempat," katanya.
Sementara itu, calon parti pemerintah, Jude Celestin yang mendapat sokongan daripada Preval menjadi pilihan utama untuk memenangi pilihan raya berkenaan.
Celestin bakal menerima tentangan hebat daripada isteri bekas Presiden, Leslie Manigat iaitu Mirlande Manigat berusia 70 tahun yang berpeluang mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Presiden Haiti.
Daripada 18 calon yang bertanding, tiada seorang pun dijangka menerima undi melebihi 50 peratus, dan jika ini berlaku, satu undian pusingan kedua akan diadakan semula pada 16 Januari tahun depan.
Keputusan undian pusingan pertama hanya akan diketahui selewat-lewatnya Disember ini. - AFP

No comments:

Post a Comment