Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Gara-gara ramalan malapetaka



BAKAR ARANG- Seorang wanita berumur 70 tahun termangu apabila menyedari dia ditipu dua wanita sekelip mata hingga kerugian RM3,000 dan barang kemas berjumlah RM5,000 Isnin lalu.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Boo, 70, berkata, kejadian berlaku ketika dia ke pasar tani untuk membeli barangan keperluan dapur dan bertemu dengan seorang wanita berumur dalam lingkungan 30an.

Menurutnya, wanita 30an terbabit berpura-pura bertanyakan kepadanya mengenai masalah suaminya yang terkena buatan orang dan mencari tempat serta orang yang boleh menyembuhkan suaminya itu.

“Selepas seketika, wanita 30an itu bertanyakan di mana dia boleh membawa suaminya untuk pergi berubat bagi mengubati buatan orang (sihir), datang pula seorang wanita 40an mencelah dan mengatakan dia tahu bagaimana caranya untuk membantu wanita 30an itu.

“Wanita 30an itu kemudiannya mengajak saya menemaninya pergi bersama wanita 40an berkenaan untuk mengetahui cara bagaimana dia boleh menyembuhkan penyakit buatan orang dan akibat kasihan saya pergi menemaninya,” katanya ketika sidang media yang diadakan di pejabat MCA Sungai Petani di Taman Intan, di sini, kelmarin.

Boo berkata, mereka kemudiannya dibawa wanita 40an itu ke satu tempat bersebelahan dengan Pejabat Tenaga Nasional Behad (TNB) dan di sana wanita 40an telah meramalkan nasib Boo hingga dia percayakannya.

Menurutnya, wanita 40an itu mengatakan bahawa keluarga Boo akan ditimpa malapetaka iaitu kemalangan hingga meragut nyawanya dan anaknya pada tahun hadapan.

“Menurut mereka jika saya merayu kepada ‘atuk’ mungkin boleh mengelakkan malapetaka yang akan berlaku namun, ia memerlukan banyak wang untuk berbuat demikian.

“Wanita 30an itu juga meyakinkan saya mengenai rayuan kepada ‘atuk’ dan dia berkata ingin pulang ke rumah untuk mengambil wang dan kembali ke tempat itu untuk melakukan proses rayuan dan meminta saya berbuat demikian juga,” katanya.

Boo berkata, akibat ketakutan akan malapetaka yang diperkatakan itu, dia segera pulang ke rumahnya di Taman Intan dengan mengayuh basikal dan membawa RM3,000 dan barang kemas bernilai RM5,000 untuk diberikan kepada wanita 40an terbabit.

Menurutnya, apabila tiba di tempat itu semula, wanita 40an itu sudah menyediakan satu beg plastik berwarna hitam berisi dua air mineral dan surat khabar serta memintanya meletakkan wang dan barang kemas dalam beg plastik berkenaan serta mengikatnya.

“Wanita 40an itu memberikan beg plastik berkenaan dan mengatakan hanya boleh membuka beg plastik itu selepas 49 hari dan beri minum air mineral itu kepada anak saya.

“Pulang sahaja ke rumah, saya memberitahu cucu saya hal terbabit dan apabila cucu saya membuka beg plastik itu, wang dan barang kemas itu sudah tiada. Baru saya sedar saya ditipu mereka berdua,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang, Ko Hung Weng berkata, dia berharap orang ramai meningkatkan kesedaran mengenai kes penipuan ini dan lebih berhati-hati.

No comments:

Post a Comment