Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Gadis mangsa samun dibenar keluar hospital



PETALING JAYA 26 Nov. - Selepas dua minggu terlantar di hospital, seorang mangsa samun, Toh Ai Ling, 19, yang sebelum ini cedera parah ditikam penjenayah di Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama pada 11 November lalu, hari ini dibenarkan keluar hospital.
Namun begitu, kejadian malang yang menimpanya tempoh hari pasti menghantuinya sampai bila-bila.
Dia yang ditemui pemberita hari ini memberitahu, dia mungkin tidak berani untuk berjalan di bahu jalan dalam tempoh terdekat ini kerana kini fobia terhadap penunggang motosikal yang lalu-lalang.
"Saya sangat bersyukur kerana masih hidup tetapi sekarang saya takut sangat dengan mereka yang bertopi keledar.
"Janganlah berlaku sekali lagi, saya berdoa agar tidak sekali lagi ditimpa kecelakaan sebegini," katanya yang kelihatan masih lemah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2 petang itu, Ai Ling, seorang penyelia di kedai pembekal telur, cedera parah dan kehilangan buah pinggang kirinya akibat cuba melawan dua penjenayah yang meragut begnya.
Ketika bergelut, dia ditikam dengan kejam oleh salah seorang suspek dengan pisau sebanyak empat kali.
Ekoran tikaman itu, buah pinggang kirinya terpaksa dikeluarkan bagi menyelamatkan nyawanya.
Tambah Ai Ling, dia akan berehat di rumah bapa saudaranya di sini sehingga pulih sepenuhnya sebelum merancang untuk terus menetap di ibu negara atau pulang ke kampung halamannya di Kuala Terengganu.
Kelmarin, polis telah menahan salah seorang suspek lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes ini dan masih memburu seorang lagi rakannya.
Kedua-dua suspek yang dikenali sebagai 'Geng Black' ini merupakan kumpulan samun dan ragut yang aktif melakukan jenayah jalanan di sekitar Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

No comments:

Post a Comment