Search This Blog

Tuesday, November 9, 2010

Firma kutip hutang guna hakim palsu




2010/11/09

Taktik paksa pelanggan bayar segera pinjaman 

PENNSYLVANIA: Sebuah syarikat kutipan hutang dihadapkan ke mahkamah selepas didapati mewujudkan mahkamah dan hakim palsu serta diarahkan menghentikan perbuatan itu serta-merta, lapor akhbar di sini.Syarikat Unicredit America di Erie, Pennsylvania, menggunakan sepina palsu dan kakitangan berpakaian seperti hakim, termasuk seorang timbalan sherif untuk memaksa orang ramai melunaskan hutang dengan segera.
Hakim Mahkamah Rayuan Awam, Michael E Dunleavy terkejut dengan dakwaan bahawa ada orang berpakaian serba hitam yang menyamar seperti hakim, menyebabkan beliau bertanya peguam bela syarikat itu. 

“Orang itu berlagak seperti hakim?” tanya Dunleavy. Keterangan bahawa syarikat berkenaan menghantar surat ugutan mirip sepina mahkamah juga menaikkan kemarahan Dunleavy. 

Dunleavy memberitahu peguam Unicredit, Lawrence D’Ambrosio, yang menulis surat itu: “Biar saya nyatakan satu perkara kepada anda sebagai seorang peguam. Adalah lebih baik anda tidak lagi hantar surat seperti ini lagi. Saya arahkan anda tidak lagi melakukannya.” 

Hakim berkenaan, bagaimanapun, tidak membekukan aset Unicredit, seperti diminta pejabat Peguam Kerajaan Negeri. Perbicaraan seterusnya akan menyentuh soal denda dan pembayaran balik kepada mangsa, lapor Erie Times-News. 
Kerajaan berkenaan juga memfailkan kes terhadap Unicredit dan mendakwa ia melakukan amalan perniagaan tidak adil. Kes berkenaan akan membela beratus-ratus pelanggan yang tertipu dengan taktik itu. 

Mahkamah olok-olok itu dihiasi perabot sama digunakan di pejabat mahkamah sebenar termasuk kerusi hakim, meja peguam dan defendan, petak saksi, ruangan pemerhati dan buku undang-undang. 

Saksi menyatakan dalam perbicaraan tertentu, seorang individu berpakaian hitam duduk di tempat yang disediakan untuk hakim, lapor Erie Times-News. 

Peguam Negara Pennsylvania, Tom Corbett mendakwa perbicaraan itu digunakan untuk mengugut pelanggan supaya memberi butiran akaun bank, membuat pembayaran serta merta atau menyerahkan hak milik kenderaan atau aset lain. 

Kakitangan syarikat didakwa sering dihantar ke rumah pelanggan bagi mendapatkan dokumen selepas ‘perbicaraan’. – Agensi 

No comments:

Post a Comment