Search This Blog

Friday, November 26, 2010

Empat maut akibat denggi





2010/11/26

Kematian dicatat antara 14 hingga 20 November lalu

KUALA LUMPUR: Empat kematian akibat demam denggi membabitkan dua lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak dilaporkan dalam tempoh 14 hingga 20 November lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Katanya, kedua-dua lelaki itu ialah seorang 48 tahun dari Petaling Jaya dan seorang operator pengeluaran berumur 41 tahun dari Masjid Tanah, Melaka.
Dua kes kematian turut berlaku di Sabah membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun yang bekerja sebagai akauntan dari Tawau dan seorang kanak-kanak berumur tiga tahun dari Sandakan, katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Dr Mohd Ismail berkata, bilangan kematian meningkat sebanyak 60 peratus atau 47 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 125 kematian berbanding 78 dalam tempoh yang sama, tahun lalu.

Jumlah kes yang dilaporkan dari Januari hingga 20 November lalu adalah 42,914 kes, peningkatan 17 peratus atau 6,400 kes berbanding sebanyak 36,514 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lalu, katanya.

"Sejumlah 147 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 18 lokaliti panas dikenal pasti pada minggu lalu, membabitkan sebanyak 261 kes demam denggi. Lokaliti panas ini juga masih melaporkan sebanyak 85 kes baru pada minggu itu.

"Sepuluh atau 56 peratus daripada 18 lokaliti panas ini masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi. Hanya lima atau 28 peratus daripada 22 lokaliti panas menjalankan aktiviti gotong-royong," katanya. 
Bagi penyakit Chikungunya, bagi tempoh bermula 14 hingga 20 November lalu, sebanyak dua kes dilaporkan, tidak berubah berbanding dua kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama minggu sebelumnya.

Dr Mohd Ismail berkata, setakat ini jumlah terkumpul kes Chikungunya adalah sebanyak 795 kes, penurunan sebanyak 83 peratus atau 3,947 kes berbanding dengan 4,742 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lepas. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment