Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Empat lelaki ditahan polis


JEMPOL 14 Nov. - Kegiatan penjualan rokok kretek seludup dan minuman keras tanpa lesen berjaya ditumpaskan polis dalam empat operasi khas di sekitar kawasan Palong, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, serbuan dilakukan lima pegawai dan 20 anggota itu telah memeriksa sembilan buah premis dan rumah di sekitar kawasan berkenaan.
Jelas beliau, empat lelaki berusia dalam lingkungan 27 hingga 55 tahun turut ditahan di empat premis, dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun kerana memiliki 169 rokok seludup pelbagai jenama di kawasan Felda Palong 5.
"Dalam serbuan kedua, kita menahan seorang lelaki berusia 27 tahun selain merampas 118 botol minuman keras pelbagai jenama dipercayai dijual tanpa lesen di kawasan Felda Palong 5.
"Serbuan ketiga pula, polis menahan seorang lelaki berusia 55 tahun kerana memiliki 128 karton rokok dan terakhir di kawasan bandar Palong 4, 5, dan 6, seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan kerana memiliki 62 kotak rokok seludup," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Mohd. Sabri menjelaskan, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol untuk disoal siasat sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, kesemua ditahan boleh didakwa di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki dagangan belum lulus dan Seksyen 76, Akta Eksais 1976 atas kesalahan menjual minuman keras yang memabukkan tanpa lesen.
"Kita akan menjalankan operasi seperti itu sepanjang masa dan kita memberi amaran keras kepada pemilik premis supaya mematuhi undang-undang sedia ada atau berhadapan dengan tindakan tegas oleh pihak polis," katanya.

No comments:

Post a Comment