Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Empat ditahan curi komponen mesin cip elektronik RM2.7j



Zulkifli Abdullah (kiri) memeriksa perbarisan pada majlis serah tugas Ketua Polis Perak di Ipoh, semalam.


IPOH 26 Nov. - Polis menahan empat lelaki dan merampas komponen mesin membuat cip elektronik bernilai RM2.7 juta yang dilarikan pemandu lori semasa menghantar barangan tersebut dari gudang kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke sini pada 12 Ogos lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, bertindak atas maklumat awam, polis menahan seorang suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut di sekitar bandar raya ini pada Sabtu lepas.
Katanya, susulan penahanan lelaki itu membawa polis ke sebuah kilang yang menjadi tempat menyimpan komponen mesin diimport dari Amerika Syarikat (AS) dan Taiwan itu.
"Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak berjaya menangkap tiga lagi suspek dan merampas semua komponen mesin tersebut dari sebuah kilang di kawasan perindustrian ringan Silibin di sini pada Ahad lalu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perbarisan perpisahan sempena pertukarannya sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur bermula 1 Disember ini di sini hari ini.
Tempat beliau akan dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof.
Pada 12 Ogos lalu, satu laporan polis dibuat oleh wakil sebuah syarikat pengangkutan di sini yang mendakwa pemandu lori yang diamanahkan untuk membuat penghantaran komponen mesin itu dari gudang kargo KLIA ke Ipoh telah menghilangkan diri bersama lori treler dan barangan tersebut.
Komponen mesin itu digunakan untuk menghasilkan 'silicon wafer' yang digunakan dalam membuat cip elektronik.
Menurut Zulkifli, siasatan polis mendapati pemandu treler itu menggunakan salinan kad pengenalan palsu semasa memohon kerja dan dibenarkan membawa muatan bernilai tinggi walaupun baru diambil bekerja.
"Siasatan juga mendapati seorang daripada empat suspek yang ditahan dikehendaki untuk beberapa kes melibatkan kecurian, penipuan, pecah amanah, samun dan kesalahan Akta Senjata Api yang dilaporkan di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur," ujarnya.
Beliau berkata, semua suspek yang berusia antara 30 hingga 56 tahun dan berasal dari negeri ini kini ditahan reman sehingga esok.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan iaitu pecah amanah jenayah oleh pembawa barang yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan lain, Zulkifli memberitahu, polis menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes pembunuhan peguam di sini pada 16 November lalu, semalam.
Katanya, dengan tangkapan terbaru itu, seramai tujuh suspek semuanya telah ditahan berhubung pembunuhan G. Balasundram, 57, selepas enam suspek ditahan di sebuah hotel di sini, Isnin lalu.
"Kita harap penahanan ini dapat mendedahkan perkara-perkara baru bagi membantu siasatan kes tersebut," jelasnya.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang baru turun dari kereta di hadapan rumahnya selepas pulang dari pejabat, diserang dua lelaki bertopeng di Taman Desa Rishah, Buntong di sini.
Mangsa yang cedera parah meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada pukul 9 malam hari yang sama.

No comments:

Post a Comment