Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Dua rakan didakwa ragut warga emas


KUALA LUMPUR 12 Nov. - Seorang peniaga burger dan rakannya, seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meragut beg seorang tukang jahit warga emas, minggu lalu.
Mohd. Huzaini Che Mat dan Mohd. Hasram Sama, masing-masing berusia 24 tahun memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan samun dengan cara meragut sebuah beg kanvas berwarna hijau, sebuah beg tangan hitam, buku akaun Public Bank, serangkai anak kunci, sebuah telefon bimbit jenama Nokia, kad pengenalan dan wang tunai RM250.
Kesemua barangan yang dianggarkan bernilai RM300 itu adalah milik Chong Mei Foong, 54.
Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela itu didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Pria, Taman Maluri, Cheras di sini pada pukul 7.15 petang, 4 November lalu.
Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yong Ann Nee mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Zainal Abidin tidak menetapkan sebarang jaminan memandangkan tiada ahli keluarga atau kenalan tertuduh yang hadir untuk menjadi penjamin.
Beliau menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 26 November ini.

No comments:

Post a Comment