Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Dua lelaki cuba rasuah pegawai penguat kuasa didakwa


Cetak Artikel



2010/11/27

BUTTERWORTH: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas tuduhan cuba merasuah pegawai penguat kuasa bagi menutup kesalahan menyimpan diesel bersubsidi secara haram di premis masing-masing. 

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zairan Aman secara berasingan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Nur Lokman Samingan.
Tertuduh pertama, Ang Ban Chiew, 48, didakwa melakukan tiga kesalahan manakala tertuduh kedua, Tan Than Kau, 24, menghadapi satu pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, Ban Chiew dituduh memberi rasuah wang tunai sebanyak RM10,000 kepada seorang pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Khairil Akhtar Ahmad, sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan kerana menyimpan diesel bersubsidi. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 5.55 petang pada 24 Ogos lalu di dalam pejabat Pemborong Sri Indah Sdn Bhd di Jalan Besar Permatang Kling, Nibong Tebal, Seberang Prai Selatan. 

Bagi pertuduhan kedua pula, dia dituduh menawarkan rasuah wang tunai RM300 secara bulanan bagi bulan Oktober kepada pegawai penguatkuasa KPDNKK iaitu Mohd Kharil Akhtar, Noor Hisham Abdul Aziz, Mohd Amin Ahmad dan seorang pegawai SPRM, Mohd Ridzuan Shaari. 

Bagi pertuduhan ketiga, dia dituduh memberi rasuah RM300 kepada setiap empat pegawai berkenaan pada 1 Oktober jam 3.53 petang di Restoran Mohamed Bistro, Nibong Tebal. 
Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama manakala bagi kesalahan kedua pula, dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) akta berkenaan. 

Tertuduh kedua, Than Kau pula didakwa memberi suapan RM3,000 kepada Noor Hisham sebagai dorongan supaya dirinya tidak dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan menyimpan diesel bersubsidi di premisnya. 

Dia dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira jam 12 tengahari pada 20 Oktober lalu di Aun Trading, Alma, Bukit Mertajam. Dia juga mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. 

Hakim Mohd Zairan kemudian membenarkan tertuduh pertama dan kedua diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Disember ini tarikh sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment