Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Diperdaya ejen

MELAKA: Seorang suri rumah mendakwa tertipu dengan tindakan ejen insurans yang tidak telus dalam hal berkaitan insurans kesihatan anaknya.
Hamidah Abd Ghani, 33, berkata, ini berikutan dia terpaksa membayar kos perubatan anaknya berusia enam tahun berjumlah lebih RM2,500 untuk tiga hari di wad sebuah hospital swasta, dekat sini, disebabkan kad insurans perubatan anaknya sudah tidak aktif.

“Kalau saya tahu kad insurans anak saya tidak aktif lagi, baik saya hantar dia ke hospital kerajaan dan tidak perlu bayar apa-apa jika menggunakan GL (Surat Pengesahan Diri dan Pengakuan Pegawai) suami.

“Namun, ejen itu yang menyuruh saya membawa anak (Fais Naim Abdul Malek) ke hospital swasta kerana didaftarkan dalam pelan insurans untuk kad perubatan,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, Hamidah berkata, sebelum ini dia mendaftarkan anaknya untuk perlindungan insurans menerusi ejen insurans berkenaan kerana tertarik dengan faedah yang bakal diperoleh.

Katanya, pelan insurans itu dibayar menerusi ansuran bulanan RM100, namun pembayarannya dibuat melalui serahan tangan kepada ejen terbabit.

“Saya tidak pernah berhenti membayar untuk insurans anak saya, namun disebabkan masalah tertentu, bayaran bagi Oktober lalu tertunggak. “Bagaimanapun, saya menjelaskan bayaran itu bersama ansuran bulan November berjumlah RM200 pada 9 November lalu dan diberitahu tiada masalah.

“Pada 10 November lalu, saya menghubungi ejen itu memaklumkan anak saya tidak sihat.

“Dia kemudian menyuruh saya membawa anak ke hospital swasta kerana mempunyai kad insurans perubatan,” katanya.

Katanya, pada hari pertama anaknya di tempatkan di wad biasa sebelum dipindahkan ke wad lain yang mempunyai dua katil selepas ejen itu datang untuk menguruskannya.

“Pada keesokannya, kira-kira jam 2.30 petang, saya dimaklumkan pihak hospital kad perubatan anak saya tidak aktif.

“Saya menghubungi ejen itu yang terkejut dan berjanji menyelesaikannya, namun sehingga kini, saya gagal menghubunginya,” katanya.

No comments:

Post a Comment