Search This Blog

Wednesday, November 3, 2010

Dadah RM1.28b: Kastam, polis bekerjasama



KUALA LUMPUR 2 Nov. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari dalang penyeludupan 168 kilogram dadah jenis heroin bernilai A$410 juta (RM1.25 bilion), yang dihantar menggunakan kontena muatan pintu kayu dari negara ini ke Sydney, Australia.
Penolong Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) jabatan itu, Datuk Ismail Ibrahim berkata, setakat ini pihaknya masih belum dihubungi PDRM berhubung perkara itu.
Beliau memberitahu, jabatan itu sendiri telah mula membuat siasatan dan akan memaklumkan hasil siasatan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat.
“Kastam kini sedang menyemak semula senarai eksport dalam sistem komputer bagi mengesan dari pelabuhan mana konsainmen tersebut dihantar dan bagaimana ia boleh terlepas daripada pemeriksaan.
“Kita tidak pasti kalau konsainmen berkenaan mungkin diikrarkan sebagai barangan lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Tegas beliau, siasatan juga akan dijalankan untuk mengenal pasti sekiranya wujud penglibatan ‘orang dalam’ dalam kes itu yang membabitkan pegawai atau anggota JKDM.
“Kalau ada mana-mana anggota Kastam terlibat, saya jamin tindakan tegas akan diambil ke atas mereka,” ujar Ismail.
Jelas beliau, Kastam memiliki teknologi seperti alat pengimbas X-ray namun kegunaannya adalah terhad kerana mustahil melakukan pemeriksaan sedemikian terhadap kesemua konsainmen di pelabuhan.
“Kastam biasanya melakukan imbasan rambang atau sekiranya mendapat maklumat bahawa sesuatu konsainmen itu membawa sesuatu yang dicurigai,” katanya.
Semalam, agensi berita Australia Associated Press (AAP) melaporkan, hasil operasi bersepadu Polis Persekutuan Australia (AFP) dan Perkhidmatan Perlindungan Sempadan dan Kastam Australia berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah yang merupakan kelima terbesar dalam sejarah negara itu.
Melalui imbasan X-ray, Kastam berjaya mengesan heroin tersebut disembunyikan dalam 10 daripada 295 muatan pintu kayu dalam kontena berkenaan, pada 21 Oktober lalu.

No comments:

Post a Comment