Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Dadah: 3 pegawai bomba kena tindakan tatatertib


TANAH MERAH 14 Nov. - Tiga pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan dikenakan tindakan tatatertib dengan salah seorang daripadanya telah dibuang kerja kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah sepanjang tahun ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Osman berkata, pegawai yang berusia dalam lingkungan 40-an itu dibuang kerja manakala dua lagi sedang menunggu laporan lengkap daripada pihak hospital dan pengurusan ibu pejabat Kuala Lumpur.
Katanya, kesemua mereka didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah selepas ujian saringan air kencing dilakukan dan didapati positif bahan terlarang itu.
"Berbanding pada tahun lalu, dua pegawai telah dibuang kerja selepas disahkan terlibat dengan najis ini dan pada tahun hadapan saya berharap jumlah itu akan menjadi sifar," katanya selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan di Balai Bomba Penyelamat Tanah Merah di sini hari ini.
Pada majlis tersebut Azmi turut menyampaikan watikah kenaikan pangkat kepada 17 pegawai di seluruh Kelantan dan menyerahkan replika kunci jentera dan pacuan empat roda kepada empat ketua balai bomba sebagai persiapan menghadapi kemungkinan berlakunya banjir gelombang kedua.
Azmi berkata, ujian saringan air kencing sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan semua pegawai dan anggota tidak terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Tambahnya, selain daripada dadah, pihaknya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pegawai yang terlibat dengan salah laku ketika menjalankan tugas.
Katanya, setakat hari ini hanya 0.05 peratus sahaja pegawai yang melanggar disiplin dan pihaknya berharap kes-kes terbabit akan menurun sehingga kepada sifar.
"Saya meminta kepada ketua-ketua Balai Bomba dan Penyelamat seluruh negeri ini mengawal sepenuhnya terhadap pergerakan pegawai untuk memastikan tidak ada pegawai yang terlibat dengan salah laku," ujarnya
Dalam perkembangan lain, Azmi memberitahu, pihaknya kini mengamalkan dasar mesra dan cepat ketika menjalankan tugas di mana semua pegawai bertugas diminta memberi layanan mesra kepada semua pelanggan yang berurusan di Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negeri ini.

No comments:

Post a Comment