Search This Blog

Monday, November 22, 2010

Cubaan rampasan kuasa gagal





2010/11/22

TENTERA Pihak Berkuasa Tertinggi Sementara memasuki pangkalan tentera bagi melancarkan operasi menahan pegawai tentera pemberontak, di Antananarivo, kelmarin. Gambar bawah, pasukan polis bersiap sedia  menghadapi penunjuk perasaan berdekatan lapangan terbang, di  Antananarivo,  kelmarin.
TENTERA Pihak Berkuasa Tertinggi Sementara memasuki pangkalan tentera bagi melancarkan operasi menahan pegawai tentera pemberontak, di Antananarivo, kelmarin. Gambar bawah, pasukan polis bersiap sedia menghadapi penunjuk perasaan berdekatan lapangan terbang, di Antananarivo, kelmarin.
16 tentera memberontak tak puas hati cadangan perlembagaan menyerah diri 

ANTANANARIVO, Madagascar: Satu cubaan rampasan kuasa dilancarkan sekumpulan tentera yang kurang puas hati dengan cadangan pindaan perlembagaan dipatahkan tanpa pertumpahan darah di negara kepulauan lautan Hindi ini lewat kelmarin.
Perdana Menteri Madagascar, Camille Vital memberitahu wartawan, 16 pegawai tentera yang memberontak sudah menyerah diri, menamatkan cubaan rampasan kuasa itu yang bermula Rabu lalu.
Pegawai tentera terbabit berhasrat menjatuhkan kerajaan Presiden Andry Rajoelina, seorang bekas datuk bandar dan pengacara radio (DJ) berusia 36 tahun yang menumbangkan presiden sebelum ini tahun lalu dengan sokongan tentera.

Awal kelmarin, wartawan melihat beratus-ratus anggota tentera yang setia kepada Rajoelina dikerah memasuki sebuah pangkalan tentera berhampiran lapangan terbang di ibu negara.

Pegawai kerajaan berkata, pihaknya merancang mengadakan rundingan dengan tentera pemberontak yang berlindung di pangkalan terbabit.

Namun, beberapa tembakan kemudian kedengaran dari pangkalan tentera itu. Kolonel Julien Ravelomihary, seorang pegawai kanan dalam tentera Pihak Berkuasa Tertinggi Sementara memberitahu wartawan beberapa pegawai tentera pemberontak bersetuju menyerah diri, tetapi beberapa pegawai rendah pada mulanya enggan berbuat demikian.

Walaupun tembakan dilepaskan, Vital berkata: “Krisis ini berakhir dengan pegawai tentera yang memberontak menyerah diri tanpa pertumpahan darah.”
Polis juga melepaskan gas pemedih mata ke arah beratus-ratus penunjuk perasaan anti-Rajoelina di tengah-tengah Antananarivo.

Tunjuk perasaan kelmarin itu diketuai pertubuhan datuk bandar yang menuntut rundingan mengakhiri rampasan kuasa berkenaan. Polis berkata, mereka menahan ketua penunjuk perasaan itu dan tidak ada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan. – AP

No comments:

Post a Comment