Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Cinta tiga segi: Pemuda maut ditetak 6 lelaki


PETALING JAYA 14 Nov. - Akibat cinta tiga segi, seorang lelaki warga Indonesia maut selepas ditetak enam lelaki rakan senegaranya, salah seorang mereka didakwa kekasih isterinya.
Kejadian pukul 11.30 malam itu berlaku di tingkat lima rumah pangsapuri mangsa di Taman Desaria Fasa 5a, PJS 4, Taman Medan di sini.
Ketika kejadian, mangsa, Haryadi, 24, berada di rumah bersama isterinya, juga warga Indonesia, berusia 22 tahun.
Kediaman pasangan itu tiba-tiba didatangi sekumpulan enam lelaki dan disusuli dengan pertengkaran di antara kedua-dua pihak.
Pertengkaran bertukar agresif apabila sekumpulan lelaki itu mengeluarkan parang dan pisau lalu menetak mangsa berkali-kali.
Haryadi yang parah di kepala dan dada, cuba melarikan diri namun rebah dan meninggal dunia apabila sampai di tingkat dua.
Kesemua suspek beredar sejurus melihat mangsa rebah.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, polis telah menahan isteri mangsa bagi membantu siasatan kes bunuh itu.
Menurut beliau, pihaknya percaya kejadian bermotifkan masalah hubungan percintaan dan siasatan polis kini menjurus ke arah itu.
"Polis menemui beberapa bilah parang dan pisau yang dipercayai dijadikan sebagai senjata pembunuhan.
"Dengan penahanan isteri mangsa, polis percaya dapat maklumat memburu enam suspek lelaki itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Arjunaidi lagi, rekod Imigresen menunjukkan mangsa baru tiba ke Malaysia empat hari lalu manakala isterinya pula sudah lama berada di sini.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment