Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Beginda masih Islam - Jakim


KUALA LUMPUR 14 Nov. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengesahkan bahawa Beginda Minda masih lagi beragama Islam kerana ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut pernah memeluk agama itu.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, tiada pengesahan daripada pihak berkuasa terutamanya Mahkamah Syariah yang bertanggungjawab menentukan sama ada Beginda atau nama Islamnya, Nor Azman Abdullah telah keluar daripada Islam.
"Seseorang yang pernah memeluk Islam, kita akan anggap dia sebagai orang Islam, walaupun daripada segi amalannya mungkin ada perbuatan yang bertentangan dengan kehendak syarak seperti makan babi dan minum arak.
"Sebaliknya perbuatan sedemikian hanya akan menjadikan seseorang itu sebagai 'asi' (pelaku maksiat) dan tidak semestinya akan menjadi kafir dengan sendirinya.
"Seseorang pelaku maksiat yang melakukan kesalahan melibatkan isu syariah seperti makan babi, minum arak masih ada peluang untuk memohon ampun kepada Allah SWT di atas tindakannya itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bapa kepada murid berusia 10 tahun yang mendakwa dirotan pihak sekolah kerana membawa nasi goreng dengan sosej babi ke Sekolah Rendah St. Thomas, Kuching, Sarawak baru-baru ini, bahawa dia bukan lagi beragama Islam.
Nor Azman yang membuat pengakuan secara terbuka Khamis lalu berkata, dia telah murtad dan menukar nama kepada Beginda sejak 1999.
Wan Mohamad berkata, seseorang yang beragama Islam itu hanya akan disahkan keluar daripada agama itu atau murtad sekiranya melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah seperti menolak keimanan kepada Allah SWT.
"Tetapi, kita mempunyai undang-undang yang memerlukan pengesahan daripada pihak berkuasa iaitu Mahkamah Syariah bahawa seseorang itu telah gugur Islamnya atau murtad kerana telah melakukan perkara-perkara yang melanggari akidah," katanya.
Maka, dalam kes Beginda itu, katanya, dia sendiri mendakwa dirinya telah murtad tetapi tiada pengesahan daripada pihak berkuasa terutamanya Mahkamah Syariah.
"Sekiranya tiada pengesahan daripada mahkamah yang mengesahkan dia telah keluar Islam dan murtad serta dia juga pernah memeluk agama Islam, kita berpendirian dia masih lagi beragama Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment