Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Beberapa kampung di Besut dilanda banjir




2010/11/01

BESUT: Beberapa kampung terutamanya di kawasan rendah serta beberapa sekolah di Hulu Besut dan Jerteh di sini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak semalam. 

Banjir juga menyebabkan jalan antara Jerteh ke Bukit Payong di Hulu Besut terputus apabila laluan di Gertak Jerbong di Kampung Pasir Akar ditenggelami air antara 0.3 hingga 1 meter pagi tadi dan tidak boleh dilalui kenderaan kecuali kenderaan berat.Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis di Kampung Raja, seramai 40 penduduk dari 10 keluarga di Kampung Dalam Umar di Tok Renek terpaksa dipindah ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Anak Ikan, Tok Dor malam tadi apabila rumah mereka dinaiki air.
Mereka, bagaimanpun, telah pulang semula tengah hari tadi setelah paras air di kawasan rumah mereka surut. 

Tinjauan BERNAMA ke beberapa kawasan mendapati beberapa buah sekolah turut digenangi air pagi tadi ekoran limpahan air parit. 

Antara sekolah yang digenangi air sedalam antara 0.2 hingga 0.3 meter ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Akar di Hulu Besut, SK Tanah Merah dan SK Bukit Puteri di Jerteh, SK Gong Bayor di kawasan Raja dan SK Kampung Nangka di Kuala Besut. 

Sementara itu, paras air Sungai Besut di tiga lokasi penyukat banjir di Ampangan Jajar, Sungai Jerteh dan di Kampung Raja dilaporkan masih berada di paras biasa. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment