Search This Blog

Monday, November 15, 2010

Bapa bawa anak berjudi antara 18 ditahan JHEAINS


JEMPOL 14 Nov. - Tugas seorang bapa adalah mendidik anak agar menjadi insan yang berguna.
Namun apa berlaku di Bahau semalam, menyedihkan apabila seorang insan bergelar bapa sanggup membawa anak lelakinya yang baru berusia lima tahun ke premis perjudian untuk membeli nombor ekor.
Tabiat buruk bapa berusia 40-an itu terbongkar selepas dia dan 16 lelaki lain serta seorang wanita ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kerana berjudi.
Penyelaras JHEAINS, Mohd. Zol Sidek memberitahu, dalam serbuan pukul 2.30 petang itu, tujuh buah premis menjual nombor ekor diserbu.
Jelas beliau, seramai 17 lelaki dan seorang wanita beragama Islam berusia dalam lingkungan 30 hingga 60-an ditahan kerana berada di dalam premis judi.
"Anggota kita juga terkejut selepas mendapati salah seorang lelaki yang ditahan membawa anak lelakinya berusia lima tahun ke dalam premis berkenaan.
"Lelaki itu mulanya cuba memberi alasan hanya berjumpa rakan tetapi selepas disoal siasat, dia mengaku membawa anaknya membeli nombor ekor," katanya di sini semalam.
Mohd. Zol memberitahu, kesemua yang ditahan itu termasuk kanak-kanak terbabit dibawa ke Balai Polis Bahau untuk disoal siasat sebelum dibebaskan dengan jaminan.
"Lebih menyedihkan kanak-kanak itu turut menangis apabila melihat bapanya ditangkap dan dibawa ke balai polis.
"Kita sangat sedih kerana sebagai bapa, lelaki itu seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada anaknya dan bukannya membawa kanak-kanak terbabit ke premis judi," ujarnya.
Mohd. Zol menjelaskan, pihaknya turut menahan seorang lelaki yang juga penjaga salah sebuah premis judi tersebut kerana cuba menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.
Katanya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 79 Enakmen Jenayah Syariah 2003 kerana berjudi dan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Penjaga premis judi itu pula ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
"Jika sabit kesalahan, dia boleh di penjara tidak kurang dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali," ujarnya.

No comments:

Post a Comment