Search This Blog

Wednesday, November 3, 2010

Banjir teruk melanda selatan Thai



PANDANGAN udara menunjukkan bandar Hadyai di selatan Thailand ditenggelami banjir, semalam. - REUTERS


BANGKOK 2 Nov. - Pihak berkuasa Thailand hari ini giat menjalankan gerakan untuk menyelamatkan beribu-ribu penduduk yang terperangkap di rumah mereka selepas banjir kilat melanda bandar Hadyai, menyebabkan sesetengah kawasan ditenggelami air sedalam beberapa meter serta bekalan elektrik dan talian komunikasi terputus.
Banjir buruk sudah pun meragut lebih 100 nyawa di seluruh negara ini sejak 10 Oktober lepas dan bencana yang merebak itu menimbulkan kebimbangan ramai lagi akan terkorban.
Paras air yang meningkat mula menenggelami Hatyai, sebuah bandar 150,000 penduduk di wilayah Songkhla, selatan Thai, malam tadi selepas hujan lebat selama beberapa hari, menjejaskan kehidupan puluhan ribu penduduk, termasuk pelancong asing.
"Saya percaya beribu-ribu penduduk terperangkap di rumah masing-masing.
"Saya cuba menghubungi beberapa hotel besar di pusat bandar Hadyai tetapi sistem komunikasi terputus, kerana itu saya fikir ramai pelancong turut terkandas," kata Pengarah Jabatan Pencegahan dan Bantuan Bencana, Viroch Phomchai.
Kawasan itu sangat popular di kalangan pelancong dari Malaysia dan Singapura.
Siaran televisyen menunjukkan bangunan ditenggelami air sehingga ke paras bumbung di kawasan rendah di bandar tersebut.
Terdahulu, Datuk Bandar Hadyai, Prai Pattano menganggarkan berpuluh-puluh ribu penduduk terperangkap di rumah mereka akibat banjir yang sedalam tiga hingga empat meter di beberapa kawasan.
Pihak berkuasa percaya hampir enam juta penduduk di seluruh Thailand terjejas akibat banjir dalam tempoh tiga minggu lalu, apabila rumah mereka ditenggelami air dan tanaman serta ternakan mereka musnah.
Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva menyifatkan banjir tersebut sebagai 'malapetaka yang sangat besar'.
"Banyak masalah serius dihadapi di selatan kerana semua saluran komunikasi dan jalan terputus. Saya akan memberi tumpuan kepada gerakan menyelamatkan mangsa terperangkap," kata beliau sebelum berlepas ke selatan Thai.
Katanya, paras air sangat tinggi dan belum menunjukkan tanda akan surut. - AFP

No comments:

Post a Comment