Search This Blog

Friday, November 5, 2010

Angka korban banjir di Thai kini 122 orang



Walaupun banjir masih belum surut di bandar Haadyai, orang ramai tetap meneruskan aktiviti harian mereka di bandar Selatan Thai itu seperti biasa. – AP


BANGKOK 4 Nov. – Angka korban akibat banjir besar di Thailand, meningkat kepada 120 hari ini, selepas bencana yang melanda selama berminggu-minggu itu kini merebak ke bahagian selatan dan menjejaskan berpuluh-puluh ribu penduduk termasuk pelancong.
Banjir mula menenggelamkan selatan negara ini malam Isnin lalu selepas hujan lebat turun berhari-hari, mengakibatkan lapan kematian di wilayah Songkhla, dua di Pattani serta masing-masing satu di Satun dan Surat Thani.
Beribu-ribu tentera dikerahkan ke kawasan terlibat bagi membantu mangsa yang terkandas di rumah masing-masing, selepas banjir kilat melanda Haadyai, sebuah bandar yang dihuni lebih 150,000 penduduk.
Jabatan Pencegahan dan Pengawalan Bencana melaporkan, tiga lagi maut di bahagian utara selepas banjir melanda wilayah itu sejak 10 Oktober lalu, menjadikan angka korban meningkat kepada 122 hari ini.
Lebih enam juta penduduk terjejas, dalam banjir yang disifatkan oleh Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva sebagai ‘satu bencana alam semula jadi paling buruk’.
Banjir dilapor telah surut di sebahagian besar Haadyai, sebuah bandar pelancongan.
Bagaimanapun menurut Lembaga Pelancongan Thailand, lebih 100 pelancong asing masih terkandas di hotel mereka, awal hari ini.
Kerajaan juga telah menghantar dua kapal tentera ke wilayah selatan bagi membekalkan ubat-ubatan dan logistik untuk operasi bantuan.
Pegawai pelancongan, Panu Woramit berkata, bot-bot polis marin semalam berjaya menyelamatkan kira-kira 100 penduduk dan pelancong di Koh Tao, sebuah pulau percutian popular di Surat Thani selepas mereka terkandas selama setengah hari.
Beliau berkata, lapangan terbang Koh Samui yang terletak berhampiran juga mula beroperasi seperti biasa selepas ditutup berikutan cuaca buruk. – AFP

No comments:

Post a Comment