Search This Blog

Saturday, November 13, 2010

Amuk: Tiga cedera ditetak


KUANTAN 12 Nov. – Tiga termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun parah sehingga hampir putus ibu jari tangan kirinya akibat ditetak dengan pedang samurai oleh seorang lelaki yang mengamuk di sebuah rumah di Flat Alor Akar di sini hari ini.
Kejadian pukul 9.30 pagi itu berlaku apabila suspek bersama dua rakannya menyerang salah seorang mangsa, Mohd. Taufik Abdul Razak (gambar), 36, kerana mengesyaki seorang adik ipar mangsa terlibat menyembunyikan isterinya di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan cedera di lengan kiri dan belakang badan akibat ditetak dengan pedang samurai.
“Mangsa cuba bergelut dengan suspek dan berjaya melarikan diri dengan masuk ke dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.
“Suspek yang tidak berpuas hati terus memecahkan sebuah lagi bilik yang ketika itu dihuni isteri mangsa, Suzziana Mohd. Hopiah, 24, dan seorang kanak-kanak yang diasuh mereka, Anas Safian Effa Rizal, 3.
“Suspek terus menetak sehingga menyebabkan Suzziana cedera di kepala, lengan kanan dan jari manis manakala Anas Safian parah di tangan kiri dan patah kaki kiri,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.
Menurut Mohd. Jasmani, selepas mencederakan ketiga-tiga mangsa, suspek melarikan diri tanpa mencederakan lima lagi anak angkat mangsa yang turut berada di rumah berkenaan.
“Selepas kejadian, mangsa segera menghubungi polis dan turut bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk mendapatkan rawatan.
“Selain menggunakan pedang samurai, mangsa juga mendakwa suspek membawa sepucuk pistol. Bagaimanapun, polis masih menyiasat kejadian tersebut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” jelasnya sambil menggesa penduduk yang menyaksikan kejadian itu supaya segera menghubungi pihak polis.
Berdasarkan siasatan awal terhadap adik ipar mangsa, kata Mohd. Jasmani, identiti suspek telah dikenal pasti.
Ketika kejadian, katanya, adik ipar mangsa, Shahrol Ridzuan, 20, yang dituduh oleh suspek menyembunyikan isterinya tiada di rumah itu.
Sementara itu, menurut Suzziana, suspek pernah datang ke rumahnya kelmarin dan mengugut akan mencederakan mereka sekeluarga.
“Suspek menuduh adik saya (Shahrol Ridzuan) cuba menyembunyikan isterinya di rumah saya.
“Bagaimanapun, saya tidak pernah mengenali isteri suspek. Malah, suspek juga pernah menggeledah rumah saya ketika cuba mencari isterinya,” ujarnya yang berasal dari Rantau Abang, Terengganu.

No comments:

Post a Comment