Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Amah dakwa didera, dipukul majikan

CHERAS: Seorang pembantu rumah warga Kemboja yang didera dengan pemutar skru selain dipukul menggunakan wayar sejak setahun lalu berjaya melarikan dari rumah majikannya di Taman Alam Damai, di sini, minggu lalu.
Mangsa yang berusia 25 tahun itu ditemui orang ramai dalam keadaan lemah dan merayau-rayau di ibu kota sebelum dihantar ke agensi pekerjaan untuk tindakan lanjut.

Hasil laporan polis, sepasukan polis menahan sepasang suami isteri dipercayai majikan mangsa pada Selasa lalu untuk siasatan lanjut. Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata siasatan awal mendapati majikan mangsa tidak membayar gaji sejak mangsa mula bekerja dengannya sejak setahun lalu.

Malah, sepanjang tempoh itu, mangsa sering didera termasuk dipukul di kepala, tangannya ditusuk pemutar skru serta dipukul dengan wayar di setiap tubuh badannya. “Ketika ditemui, terdapat beberapa kesan lebam dan parut di badan mangsa dan di matanya lebam akibat ditumbuk majikan lelakinya,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam. Katanya, pihaknya masih mengesan motif majikan terbabit mendera mangsa. Bagaimanapun, mangsa yang masih trauma dan lemah akibat selalu dipukul belum diambil keterangan.

Abdul Rahim berkata, berikutan kejadian itu dan hasil maklumat awam, polis menahan sepasang suami isteri berusia 42 dan 43 tahun yang mempunyai tiga anak yang masih kecil untuk siasatan lanjut. “Polis turut menemui kayu, pemutar skru dipercayai digunakan untuk mendera mangsa selain merampas wayar dan beberapa barang kes yang lain,” katanya. Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali. Abdul Rahim berkata, mangsa kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaya (PPUKM) manakala pasangan terbabit direman untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, polis juga sudah memaklumkan kejadian itu kepada Kedutaan Kemboja di negara ini.

No comments:

Post a Comment