Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Air naik mendadak



KUALA KRAU - Sebanyak 23 rumah di Felda Jenderak Utara dinaiki air kira-kira jam 12 tengah malam, Khamis lalu akibat hujan lebat selama dua jam tanpa henti menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda. 

Manakala di Kampung Paya Luas, sebanyak sembilan rumah dinaiki air termasuk sebuah dewan orang ramai dan laluan utama namun kenderaan masih boleh melalui jalan itu. 

Perkampungan Orang Asli, Kampung Paya Mendoi pula terputus hubungan kerana air naik secara mendadak namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. 

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, keadaan yang berlaku di Felda Jenderak Utara hanya banjir kilat dan tiada mangsa dipindahkan kerana air naik beberapa jam sahaja. 

Menurutnya, kejadian banjir di Kampung Paya Mendoi menyebabkan tiga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terkandas namun pihak polis pantas membawa mereka keluar untuk menduduki peperiksaan penting itu. 

“Tiada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan dalam kejadian banjir yang melanda ketiga-tiga kampung ini namun sembilan mangsa di Kampung Paya Luas terpaksa memindahkan barangan kepunyaan mereka. 

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kita harap penduduk mengambil langkah berjaga-jaga kerana musim tengkujuh sudah tiba,” katanya ketika meninjau keadaan mangsa banjir di Kampung Paya Luas. 

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh, Suprintendan Zundin Mahmood; Penghulu Mukim Jenderak, Zainal Azman Bidin; Jabatan Kebajikan Masyarakat Temerloh dan wakil Pegawai Daerah Temerloh. 

Ditanya mengenai persediaan menghadapi musim tengkujuh, Mohd Nor berkata, pihaknya bersama agensi keselamatan lain kini bersiap sedia menghadapi banjir untuk membantu penduduk terbabit. 

Menurutnya, penduduk terutama di kawasan yang jauh dari bandar Temerloh perlu merujuk balai polis berhampiran jika terdapat sebarang kemungkinan berhadapan dengan banjir. 

“Saya minta ibu bapa memantau anak masing-masing terutama pada musim cuti sekolah ini. Jangan biarkan anak-anak bermain atau mandi-manda di sungai kerana paras air kini sangat dalam,” katanya. 

No comments:

Post a Comment