Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

Ahli perniagaan tuntut fasakh





KUALA LUMPUR 26 Nov. - Setelah 22 tahun bernikah, seorang ahli perniagaan akhirnya memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh terhadap suaminya setelah tidak tahan dengan sikap lelaki itu yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan ramai wanita sejak enam tahun lalu.
Permohonan tersebut dikemukakan oleh Sadiah Abdul Shukor, 46, terhadap Abdullah Abd. Rahman, 46, di kaunter pendaftaran Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini bersama peguam syarie yang dilantiknya, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain.
Abdullah merupakan pegawai kanan di sebuah kementerian di Bandar Bukit Damansara dekat sini.
Tuntutan itu dikemukakan oleh Sadiah selaku plaintif mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Dalam pernyataan tuntutan, Sadiah mendakwa, beliau sudah tidak sanggup melihat sikap keji defendan yang menjalinkan hubungan sulit dengan wanita-wanita dari Filipina dan Thailand.
Menurutnya, kecurangan suaminya terbukti apabila beliau menjumpai gambar-gambar defendan bersama wanita Thailand sebagai koleksi peribadi dan juga bukti salinan pasport milik defendan yang berulang-alik ke Thailand hampir setiap bulan.
Bagaimanapun selepas memaafkan suaminya pada 2004, beliau sekali lagi dikejutkan dengan penemuan bukti hubungan lelaki itu dengan seorang wanita tempatan beberapa bulan lalu.
Kata Sadiah, beliau ada menjumpai dokumen-dokumen milik defendan seperti tiket penerbangan percutian, resit hotel, resit rawatan pesakit dan surat perjanjian jual-beli rumah atas nama wanita itu.
Plaintif juga menyatakan, defendan sering menyakiti hatinya dengan memaki beliau dan anak-anak mereka dengan kata-kata kesat.
Defendan juga didakwa telah mengabaikan pemberian nafkah lebih tiga bulan sehingga menyebabkan plaintif terpaksa menampung perbelanjaan beliau dan anak-anak dengan kudratnya sendiri.
Akibat perbuatan defendan, Sadiah berasa amat risau dan takut apabila defendan mengajaknya tidur bersama kerana bimbang akan dijangkiti penyakit kelamin.
Pasangan itu bernikah pada 31 Januari 1988 di Kampung Baru Sepakat, Pasir Pelangi, Johor Bahru, Johor dan dikurniakan empat anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara 22 dan empat tahun.
Mahkamah menetapkan kes itu didengar pada 15 Disember ini.

No comments:

Post a Comment