Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

8 junior ceroboh rumah penduduk



KUANTAN - Lapan kanak-kanak termasuk seorang remaja berusia 15 tahun ditahan polis selepas menceroboh masuk dan menjadikan sebuah rumah yang ditinggalkan penghuninya di Kampung Sungai Temau, dekat Lipis, sebagai tempat melepak sejak beberapa hari lalu. 

Kanak-kanak berusia antara 7 hingga 15 tahun dipercayai anak penduduk tempatan di situ bukan sahaja merosakkan barang-barang dalam rumah tersebut malah turut mencuri beberapa barangan elektrik membabitkan nilai kerugian ditanggung pemiliknya kira-kira RM2,500. 

Mereka juga menjadikan kediaman milik lelaki berusia 33 itu sebagai rumah sendiri apabila sempat memasak makanan dan menjamu selera berikutan penemuan nasi goreng dan udang goreng dalam bekas atas dapur rumah terbabit. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Siasatan dan Perundangan) Superintendan Mohd Haris Daud berkata, kehadiran kanak-kanak tanpa ditemani orang dewasa di rumah itu menimbulkan tanda-tanya seorang jiran selepas menyedari mereka mula berkampung di situ sejak bermulanya cuti sekolah beberapa hari lalu. 

Menurutnya, curiga dengan tetamu misteri itu, jiran terbabit menghubungi pemiliknya yang kebetulan berada di Kuala Lumpur, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin. 

“Pemilik rumah menghubungi bapanya yang diamanahkan untuk menjaga rumah itu untuk menyiasat perkara sebenar kerana bimbang barang-barang berharga yang ada di dalamnya lesap dilarikan. 

“Ketika bapa pemilik rumah itu tiba, dia ternampak beberapa orang kanak-kanak berada dalam rumah anaknya lalu bertindak mengunci pintu dari luar dan menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam. 

Mohd Haris berkata, polis yang tiba selepas dihubungi menahan kanak-kanak terbabit untuk siasatan lanjut bagaimanapun mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selepas siasatan siap dijalankan. 

“Hasil pemeriksaan ke atas rumah itu mendapati premis tersebut dijadikan ’port’ kanak-kanak terbabit untuk melepak dan bermain memandangkan banyak barang mainan dipercayai milik mereka ditemui termasuk senjata mainan dan kereta kawalan jauh. 

“Beberapa barangan dalam rumah terbabit juga dirosakkan manakala beberapa barangan elektrik lesap dilarikan,” katanya. 

Beliau berkata, rumah mangsa juga berada dalam keadaan berselerak dan dipercayai dicerobohi sejak beberapa hari lalu sebelum perbuatan mereka disedari jiran.

No comments:

Post a Comment