Search This Blog

Wednesday, November 3, 2010

5 termasuk warga Thai didakwa bunuh Muda



Lima tertuduh keluar dari mahkamah selepas didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian di Mahkamah Majistret Marang, semalam.


MARANG 2 Nov. - Lima buruh termasuk seorang warga Thailand hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan membunuh seorang penoreh getah dengan memaksanya meminum racun pada pertengahan bulan lalu.
Penoreh getah bernasib malang itu, Muda Mohd. dari Kampung Lubuk Batu, Wakaf Tapai maut selepas menderita selama 10 hari ekoran perbuatan tersebut yang dikatakan berlaku ekoran hubungan cinta terlarang mangsa dengan teman wanitanya berusia 16 tahun.
Tertuduh ialah Mat Ubidi Osman, 39, dari Kampung Gondang, Binjai Rendah, Marang dekat sini bersama anak saudaranya, Khairul Amilin Samsudin, 17, serta Kamaruzaman Mamat, 25.
Dua lagi rakan mereka yang turut didakwa membunuh mangsa ialah Mas Anuar Fauzi, 27, dan seorang warga Thailand, Roslan Arifin, 24.
Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Muda, 27, di dalam kawasan kebun di Kampung Lubuk Batu, Marang antara pukul 10 hingga 11 pagi, 19 Oktober lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad.
Tiada sebarang pengakuan diambil daripada tertuduh dan mereka sekadar menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan.
Majistret Nor Azizah Yusof menetapkan 28 Disember ini bagi sebutan semula kes.

No comments:

Post a Comment