Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, kesemua mangsa telah dipindahkan ke 143 buah pusat pemindahan yang berhampiran kawasan terlibat.
Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan, seramai 29,963 orang merupakan penduduk di Kedah, 13,711 orang (Perlis) dan 502 orang (Kelantan).
"Seramai 738 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam usaha membantu dan menyelamat kesemua mangsa banjir yang melibatkan 17 bot, lebih 15 kenderaan darat dan helikopter.
"Seramai 568 pegawai dan anggota bertugas di Kedah, Perlis (162 orang) dan Kelantan (lapan orang). Kerja-kerja menyelamat dilakukan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain," katanya.
Beliau ditemui selepas menyaksikan majlis serah tugas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Soiman Jahid kepada pemangkunya yang juga Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd. Puzi Mohd. Tabot.
Dalam perkembangan terbaru hari ini, kata Wan Mohd. Nor, 15 pesakit buah pinggang dan empat kakitangan dari Hospital Kangar dipindahkan dengan helikopter ke hospital di Pulau Pinang.
Kata beliau, pemindahan itu dibuat kerana pesakit-pesakit terlibat tidak dapat menjalani rawatan hemodialisis akibat masalah bekalan elektrik yang terganggu di Hospital Kangar.
No comments:
Post a Comment