Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

42 rumah dilanda banjir kilat





Salah sebuah rumah yang dilanda banjir kilat di Kampung Paya Luas, Kuala Krau, kelmarin.


KUALA KRAU 26 Nov. – Sebanyak 42 rumah di Felda Jenderak Utara dan Kampung Paya Luas dekat sini dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat selama dua jam tanpa henti tengah malam, semalam.
Dalam kejadian itu, sebanyak 23 rumah peneroka di Felda Jenderak Utara dan sembilan kediaman termasuk sebuah dewan orang ramai di Kampung Paya Luas ditenggelami air sedalam kira-kira semeter.
Perkampungan Orang Asli, Kampung Paya Mendoi pula terputus hubungan kerana air naik secara mendadak di laluan masuk ke penempatan tersebut.
Difahamkan, kejadian itu mengakibatkan tiga pelajar Orang Asli dari kampung itu yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terkandas.
Bagaimanapun, pihak polis bertindak pantas dengan membawa keluar pelajar terbabit dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi membolehkan mereka ke sekolah.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor berkata, hujan lebat bermula pukul 12 tengah malam sebelum berhenti dua jam kemudian di kawasan terbabit.
Menurut beliau, kejadian di kedua-dua kawasan itu hanya banjir kilat kerana air kembali surut beberapa jam kemudian dan tiada mangsa yang dipindahkan.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kita berharap penduduk mengambil langkah berjaga-jaga kerana musim tengkujuh telah tiba,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan mangsa banjir di Kampung Paya Luas semalam.

No comments:

Post a Comment