Search This Blog

Saturday, November 27, 2010

3 remaja hilang selamat



SUVA, Fiji 26 Nov. - Tiga remaja lelaki yang hanyut di perairan Pasifik Selatan selama 50 hari tiba di pelabuhan di sini hari ini setelah diselamatkan oleh sebuah bot nelayan Fiji pada Rabu lalu.
Samuel Pelesa, 15, Filo Filo, 15, dan Edward Nasau, 14, berkata, mereka meneruskan kehidupan dengan mengumpulkan air hujan, makan segenggam kelapa, ikan mentah dan seekor burung camar yang hinggap di atas bot mereka.
Ketiga-tiga remaja itu mula berlayar menaiki bot kecil berukuran 3.5 meter dari pulau kediaman mereka di Tokelau, utara Samoa, wilayah New Zealand pada 5 Oktober lalu untuk ke pulau berhampiran.
Tidak diketahui bagaimana mereka boleh hilang, tetapi mungkin enjin bot mereka mengalami kerosakan ketika di tengah laut.
Keluarga mereka yang bimbang dengan keselamatan mereka telah membuat laporan polis berhubung kehilangan mereka dan tentera udara New Zealand melancarkan usaha mencari mereka di laut.
Namun, tiada sebarang tanda bot mereka ditemui dan penduduk kampung telah mengadakan majlis peringatan kerana menyangka ketiga-tiga remaja itu telah meninggal dunia.
Bagaimanapun mereka telah ditemui oleh nelayan kelmarin dalam keadaan kekurangan makan dan air serta kulit mereka terbakar teruk akibat pancaran matahari.
Menurut nelayan itu, mereka menemui kumpulan remaja itu di laluan yang biasa dilalui oleh kapal komersial.
Remaja itu telah hanyut sejauh 1,300 kilometer dari tempat di mana mereka mula berlayar.
Pasukan peronda tentera laut Fiji telah menemui kapal nelayan itu hari ini dan kemudiannya mengiringinya ke pelabuhan di ibu negara Suva.
Penduduk kampung meraikan kepulangan mereka yang disifatkan sebagai mati hidup semula. - AP

No comments:

Post a Comment